Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Empat pemain JDT aset negara - Gomez
Diterbitkan:  Mar 29, 2017 1:03 PM
Dikemaskini: 5:10 AM

Ketua jurulatih bola sepak negara yang baru, Mario Gomez menegaskan empat pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang bersara daripada pasukan kebangsaan sebelum ini merupakan aset negara.

Justeru beliau mengesahkan bahawa empat pemain berkenaan iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd Radzak, Amirulhadi Zainal dan S Kunanlan bakal kembali menyarung jersi Harimau Malaysia.

"Mereka telah banyak menabur bakti dan jasa kepada negara sebelum mereka membuat keputusan bersara dari peringkat antarabangsa.

"Dengan pengetahuan saya tentang taktikal permainan sebahagian pemain tempatan, ia adalah satu corak permainan baru yang akan digunakan untuk skuad kebangsaan," kata jurulatih dari Argentina itu dalam kenyataan di Facebook rasmi FAM, malam tadi.

Terdahulu, bekas pemain negara, Khalid Ali tampil mengkritik penampilan semula keempat-empat pemain itu yang disifatkan tidak profesional.

Katanya, mereka yang menolak panggilan negara perlu berasa kesal kerana tidak bersikap profesional dan bertanggungjawab untuk mewakili negara sebelum ini.

"Saya masih kecewa dengan tindakan pemain yang enggan beraksi di saat negara memerlukan khidmat mereka pada Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016...mereka seolah-olah mempermainkan maruah negara," katanya seperti dilaporkan Bernama.

Empat tonggak utama Harimau Selatan itu mengumumkan persaraan mereka bersama skuad kebangsaan pada Julai tahun lalu sekali gus tidak beraksi dalam Piala AFF Suzuki 2016.

Pelantikan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai presiden FAM dan kehadiran Gomez sebagai pengganti Datuk Ong Kim Swee nampaknya mengubah pendirian mereka.

Gomez berkata, hanya mereka yang tidak tahu mengenai bola sepak akan menyangkal dan menafikan penampilan semula pemain tersebut.

Lihat Komen
ADS