Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bola sepak negara memerlukan jangka masa 10 tahun untuk mengulangi zaman kegemilangan dan kecemerlangan skuad kebangsaan di pentas Asia sebagaimana digeruni pada era 1970-an dan awal 80-an.

Bekas pemain negara, Khalid Ali berpendapat tempoh sedekad itu dilihat mencukupi buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk mengembalikan semula era kegemilangan Harimau Malaysia.

Menurutnya, perubahan positif hasil sentuhan magis Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu ke atas pasukan JDT membukitkan kemampuan beliau merealisasikan impian seluruh rakyat Malaysia melihat kebangkitan negara yang sepi sejak lebih tiga dekad lalu.

"Daripada visi dan misi yang digariskan Tunku Ismail, saya percaya dalam masa 10 tahun dari sekarang seluruh peminat bola sepak tanah air pasti dapat melihat semula pasukan kebangsaan mampu memberikan cabaran di peringat Asia.

"Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Tunku Ismail di JDT telah membuktikan kemampuan beliau dan tidak mustahil ia turut akan dilaksanakan bersama pasukan kebangsaan" katanya kepada Bernama hari ini.

Mengakui tiada jalan pintas untuk menakluki semula pentas Asia, Khalid yang merupakan antara watak penting kejayaan skuad kebangsaan dalam kempen kelayakan Sukan Olimpik Moscow 1980 berpendapat FAM perlu melahirkan lebih ramai pemain yang berbakat.

Katanya, hasrat menawan semula Asia dalam tempoh 10 tahun itu tidak mustahil sekiranya FAM berjaya melahirkan pemain yang mempunyai kualiti setanding pemain dari negara jiran, Thailand.

"Mustahil untuk terus mencapai ke tahap kehebatan seperti negara Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi selagi kita masih ketandusan pemain yang berkualiti.

"Kita masih belum boleh mengatasi kualiti yang dimiliki pasukan Thailand yang kini telah berjaya memberi cabaran kepada pasukan gergasi Asia yang lain dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2018," ujarnya.

Khalid seterusnya berpendapat selain usaha daripada pemain dan kepimpinan, penyokong juga perlu memainkan peranan mereka sebagai pemain kedua belas negara dengan sentiasa memberikan sokongan.

Menurutnya, penyokong tidak perlu terlalu ghairah dan gelojoh ingin melihat kejayaan sebaliknya berikan sedikit masa kepada Tunku Ismail untuk mengemudi armadanya bagi merencana setiap agenda dalam usaha mengembalikan maruah bola sepak negara.

Dalam pada itu, Khalid turut menyifatkan Tunku Ismail sebagai seorang yang berfikiran terbuka di samping boleh menerima apa saja kritikan membina meskipun statusnya.

Katanya, sikap keterbukaan TMJ itu membolehkan setiap individu berpeluang untuk menyuarakan apa jua pandangan demi kemajuan bola sepak negara dalam cara yang profesional.

"TMJ tidak suka kepada individu yang suka membodek. TMJ merupakan seorang pemimpin yang tegas, namun boleh menerima kritikan membangun daripada penyokong demi kebaikan bersama," katanya.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS