Paling Popular
Terkini

Susulan pengunduran Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih Kedah, penyokong Helang Merah mula menyatakan kehendak sebagai pengganti dirasakan terbaik untuk mereka.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, kebanyakan mereka memilih supaya persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) memanggil supaya bekas penolong jurulatih pasukan itu, Ramon Marcote.

Aktivis Bola Sepak Kedah, Azim Ahmad, berkata pengendali dari Sepanyol itu dilihat calon utama yang sesuai untuk menggantikan posisi Cheng Hoe.

Menurutnya, rekod baik sudah dibuktikan oleh Marcote sewaktu memangku tugas sebagai jurulatih Kedah ketika Cheng Hoe ke China bagi mengikuti kursus kejurulatihan lanjutan lesen A.

"Dia berjaya membawa pasukan Kedah ke saingan Piala Malaysia 2015 hingga ke perlawanan akhir walaupun Kedah tewas 0-2 kepada selangor.

"Lebih penting, taktikal yang diterapkan Marcote agak mirip taktikal Cheng Hoe yang gemarkan permainan hantaran pendek.

"Penyokong Kedah (kini) dihidangkan dengan taktikal permainan hantaran pendek dari skuad yang menghiburkan peminat yang hadir di Stadium Darul Aman atau berkunjung ke stadium lawan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Cheng Hoe dilaporkan sudah meletak jawatannya bagi menyahut cabaran negara sebagai penolong jurulatih skaud bola sepak kebangsaan.

Pengesahan itu sekali gus melenyapkan khabar angin yang bertiup kencang selepas FAM diterajui Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, melakukan rombakan drastik dalam kem kejurulatihan Harimau Malaysia.

Tambah Azim, Marcote yang juga bekas penolong jurulatih Atletico Madrid juga sudah mengenali dengan dekat barisan pemain Kedah.

"Marcote sudah mengenali pemain Kedah, ini bakal memudahkan lagi perjalanan pasukan untuk meneruskan perjuangan di musim 2017," katanya.

Sementara itu Presiden Kelab Penyokong Hijau Kuning, Nor Hasmadi Hamzah, berkata mereka pasti mahu seorang pengganti terbaik bagi menyambung legasi ditinggalkan Cheng Hoe.

"Kalau boleh kita mahu KFA kembalikan sentuhan Marcote yang diyakini mampu meneruskan momentum positif pasukan Kedah.

"Perkara ini cukup penting, kita harap KFA tidak mengambil jurulatih sekadar tangkap muat ketika pasukan berada di landasan tepat untuk mengecapi kemenangan," jelasnya.

Untuk rekod, pasukan Kedah sepanjang musim ini mempamerkan prestasi cemerlang dengan rekod tanpa kalah selepas lapan perlawanan Liga Super.

Malah, mereka baru sahaja meraikan kejayaan membelasah pasukan PKNP FC 6-1 pada aksi suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu.

Sementara itu, FAM dalam kenyataan hari ini menjelaskan badan induk itu sedia berbincang mengenai situasi dihadapi KFA dan Cheng Hoe.

"FAM akan mengadakan perbincangan bersama pasukan Kedah mengenai situasi yang dihadapi Tan Cheng Hoe.

"Pihak FAM juga berkemungkinan akan mencadangkan agar Tan Cheng Hoe menyelesaikan tugas-tugas beliau untuk membantu Kedah sehingga berakhir kempen mereka dalam saingan Piala FA 2017 atau tugas tugas yang lain," kata kenyataan tersebut.

Lihat Komen
ADS