Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
KFA mahu runding dengan FAM isu Cheng Hoe
Diterbitkan:  Apr 4, 2017 3:40 PM
Dikemaskini: 7:41 AM

Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mahu berunding dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan penyelesaian menang-menang mengenai isu jurulatih Tan Cheng Hoe.

Namun setakat ini KFA beranggapan Cheng Hoe masih milik mereka, walaupun pengendali itu telah menghantar surat peletakan jawatan Sabtu lepas, selagi belum mendapat surat rasmi tawaran pengambilannya sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan.

Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar berkata rundingan perlu dibuat antara kedua-dua belah pihak bagi mendapatkan situasi menang-menang.

"Selagi tiada surat rasmi, KFA tidak akan membuat sebarang keputusan berkaitan perkara ini. Ini bukan perkara mudah, banyak benda yang KFA perlu teliti dahulu kerana ini melibatkan jurulatih negeri kita.

"Jadi sebaiknya FAM perlu berjumpa dengan KFA bagi berbincang untuk mencapai keputusan yang terbaik demi pembangunan bola sepak Kedah dan negara," katanya kepada pemberita di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Cheng Hoe yang mempunyai kontrak dengan KFA sehingga akhir tahun ini, menjadi pilihan jurulatih skuad Harimau Malaya, Mario Gomez untuk menjadi pembantunya.

Aminuddin berkata usaha membentuk pasukan Kedah yang mantap seperti sekarang bukanlah sesuatu yang mudah dan FAM perlu melihat pengorbanan besar yang telah dilakukan anggota gabungan bagi meningkatkan mutu bola sepak negeri.

"Pelbagai cabaran telah kita tempuhi untuk berada di posisi ini. Kerajaan negeri banyak memberi komitmen terutama dari sudut kewangan bagi menggilap bakat baharu menjadi pemain dan jurulatih yang baik sehingga mereka sampai ke peringkat nasional," katanya.

Sementara itu, beliau berkata isu penukaran jurulatih bukan perkara mudah terutama mendapatkan mereka yang sesuai dengan pemain dan persatuan.

"Penelitian rapi perlu dibuat sebelum melantik jurulatih baharu dan KFA sangat berhati-hati sebab kita faham kedudukan sukan bola sepak di Kedah yang merupakan sukan rakyat," katanya.

-Bernama

Lihat Komen
ADS