Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ bidas Fahrizal, lupa pernah dibelasah 6-0
Diterbitkan:  Apr 11, 2017 4:16 PM
Dikemaskini: 8:26 AM

Tunku Ismail Sultan Ibrahim membalas sindiran bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Pahang FC, Fahrizal Hasan berikutan kekalahan Melaka United 0-7 kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Ahad lalu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata demikian berikutan kenyataan Fahrizal bahawa terdapat individu yang membodek pegawai atasan FAM sehingga Melaka United mengalami kekalahan teruk.

Menurut pemilik JDT itu, meskipun kenyataan itu ditujukan kepada timbalan presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi, namun beliau perlu menjelaskan keadaan kepada semua pihak.

"Beliau (Fahrizal) lupa sewaktu beliau menjadi CEO (Pahang FC), pasukannya dibelasah 6-0 di laman sendiri.

"Malah perlawanan tersebut tertulis dalam buku sejarah Pahang sebagai kekalahan paling teruk di laman sendiri dan nyaris menyebabkan pasukan tersebut tersingkir ke liga bawah," katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi JDT, hari ini.

Terdahulu, Fahrizal dalam tulisannya di Twitter didakwa menyindir Mohd Yusoff susulan kekalahan besar Melaka United kepada JDT.

"Sibuk bodek sampai kena belasah," katanya.

Mohd Yusoff yang juga timbalan presiden FAM merupakan antara individu yang kuat menyokong Tunku Mahkota Johor untuk dilantik sebagai presiden badan induk bola sepak negara menjelang Kongres FAM ke-52, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Tunku Ismail berkata Fahrizal perlu mencerminkan diri terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan tersebut.

"Kepada bekas ceo tersebut, lain kali bila nak bercakap tentang orang lain, cermin muka sendiri terlebih dahulu.

"Owh ya sebelum saya terlupa, dulu awak kalah polo dengan saya 11-0. Tengah membodek ke waktu tu?" katanya.

Sementara itu, Tunku Ismail berkata, beliau bersyukur apabila Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kembali membawa Pahang sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di Malaysia

"Alhamdullillah Tengku Muda Pahang telah meletakkan kembali Pahang sebagai salah satu kuasa besar bola sepak di Malaysia.

"Bola sepak Malaysia memerlukan pasukan kuat seperti Pahang, Kedah, Selangor, Kelantan dan Felda. Ia bagus untuk bola sepak kita," katanya.

Lihat Komen
ADS