Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Lepas dibebas, Matlan disaran ambil lesen jurulatih

Bekas pemain kebangsaan, Matlan Marjan disaran mendalami ilmu kejurulatihan sekiranya berminat untuk menjadi seorang jurulatih bola sepak.

Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia, B Sathianathan berkata, peluang diberikan FAM kepada legenda bola sepak Sabah itu perlu dimanfaat sebaik mungkin agar Matlan kembali terlibat dalam bola sepak.

"Saya sarankan dia mengikuti kursus dan lesen kejurulatihan sekiranya berminat untuk menjadi seorang jurulatih profesional.

"Ia satu peluang besar selepas dibebaskan oleh FAM daripada hukuman gantung seumur hidup," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Sabtu lalu, badan induk bola sepak negara memberi pengampunan kepada Matlan dan lima lagi bekas pemain Sabah yang terlibat dalam skandal rasuah pada 1990-an.

Lima lagi pemain Sabah yang turut menerima nasib seperti Matlan ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.

Pada usia 49 tahun, Matlan kini tetap aktif dengan melibatkan diri dalam sukan bola sepak tempatan di Sabah khususnya di daerah kelahirannya, Kota Belud.

Malah, dia juga pernah mengendalikan pasukan daerah Kota Belud yang menyertai Liga Bola Sepak Rakyat.

Sathianathan yang juga pengendali Felda United berkata, sekiranya Matlan serius mahu terlibat kembali dalam bola sepak dia memerlukan masa paling kurang sehingga enam tahun untuk memperolehi lesen kejurulatihan profesional A.

Katanya, Matlan boleh membina kerjaya kejurulatihan dari bawah dengan menjadi jurulatih di peringkat akar umbi.

"Tidak semua bekas pemain boleh jadi jurulatih, pemain dan jurulatih adalah dua perkara yang berbeza. Seperti tidak semua murid boleh menjadi guru," katanya.

Tambah beliau, Matlan bagaimanapun boleh berkongsi dan memberi tunjuk ajar mengenai bola sepak dengan pengalaman yang dimiliki.

"Tapi dia perlu mengikuti kursus untuk ambik lesen kejurulatihan, pengalaman sebagai pemain tidak cukup untuk menjadi seorang jurulatih," katanya.

Lihat Komen
ADS