Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
TMJ arah siasat pengadil, gantung jika bersalah
Diterbitkan:  Apr 16, 2017 9:43 PM
Dikemaskini: Apr 17, 2017 3:40 AM

Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan Jawatankuasa Integriti dan Persatuan Pengadil menyiasat pengadil yang membuat keputusan meragukan dalam beberapa perlawanan Liga Malaysia.

"Saya mahu siasatan terperinci dilakukan sepenuhnya dan keputusannya perlu diambil minggu ini.

"Jika jelas individu terbabit gagal mengadili perlawanan dengan baik, hukuman akan dikenakan dan pengadil tersebut harus direhatkan.

"Saya juga ingin memaklumkan jika perkara ini didapati sabit kesalahan kerana unsur rasuah, pengadil tersebut hari digantung seumur hidup," tegas Tunku Ismail dalam laman Facebook Johor Southern Tigers hari ini.

Menurut Tunku Ismail, beliau telah memberikan nama dan butiran pengadil dan pegawai FAM kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memantau dan memastikan tiada amalan rasuah dalam badan induk bola sepak negara itu.

"FAM perlu memastikan sesiapa yang terlibat dengan bola sepak di Malaysia perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti.

"Dan kepada penyokong-penyokong yang mahu timbulkan isu seolah-olah saya cuba membantu JDT pula, ingatlah bahawa JDT telah memenangi piala sebelum saya menjadi presiden.

"Kalau ada pihak yang membangkitkan isu berkenaan keputusan pengadil, pihak FAM akan menayangkan video dan penyokong boleh menilainya sendiri," kata beliau.

Kemenangan JDT ke atas Kelantan di Kota Bharu 12 April lalu mengundang kemarahan tuan rumah terhadap mutu pengadil perlawanan.

Kritikan terhadap pengadil turut diluahkan oleh penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa di laman Facebooknya.

Lantik presiden baru, 'no problem'

Tunku Ismail berkata, sekiranya masih ada penyokong berasa kurang senang dengan kepimpinan beliau sebagai Presiden FAM, mereka boleh menyeru agar diadakan Majlis Kongres bagi melantik presiden baru.

"Ia bukan satu masalah yang besar.

"Saya menjadi presiden untuk membantu pasukan kebangsaan, meningkatkan mutu liga tempatan, memastikan bola tidak digunakan untuk agenda politik dan memusnahkan korupsi dalam bola sepak.

"Tetapi jika penyokong bola sepak tanah air merasakan saya bukan individu yang sesuai sebagai presiden, anda boleh cari presiden baru. "No problem"," katanya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail mempersoalkan keputusan dalam perlawanan-perlawanan lain sebelum ini turut berpunca daripada 'kesilapan' beliau selaku presiden FAM.

"Cuma saya ingin bertanya sedikit, Perak mendapat penalti di saat akhir perlawanan ketika menentang T-Team, adakah silap saya?

"JDT dapat penalti, adakah salah saya? Sebab saya Presiden dan saya orang Johor?

"Selangor mendapat penalti ketika menentang Pahang, adakah salah saya juga? Kedah menerima kad merah sebab pemain mereka menumbuk kepala pemain T-Team, adakah salah saya? Lirindon cedera, adakah salah saya?

"Beberapa tahun yang lepas, ada pasukan sedang meraikan jaringan gol dan pihak lawan memulakan terus perlawanan lantas menjaringkan gol, adakah ia salah saya juga?,"soalnya.

 

Lihat Komen
ADS