Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Watson tak terima maaf TV3
Diterbitkan:  Apr 24, 2017 4:54 PM
Dikemaskini: Apr 25, 2017 3:01 AM

Hati Watson Nyambek belum terbuka untuk menerima permohonan maaf daripada TV3 dan Primeworks Studios Sdn Bhd yang menyiarkan satu program menghina mendiang bapanya.

Kata bekas pelari pecut Malaysia itu, dia amat marah dengan tindakan pengacara Sukan Tak Sentral itu mempersenda-sendakan nama bapanya.

“Hari ini saya tak terima permohonan maaf mereka. Mungkin suatu hari nanti jika saya sudah lebih tenang saya akan terima," katanya kepada media di Miri, Sarawak, hari ini.

Menurut laporan Borneo Post, Watson mengadakan pertemuan dengan wakil stesen televisyen swasta itu serta Primeworks Studios hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar dan Anggota Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang.

Dalam siaran siri Sukan Tak Sentral itu Sabtu lalu, seorang daripada pengacaranya Azizul Ammar Abu Hassan mempersenda nama mendiang bapa Watson dengan membunyikannya seperti suara kambing.

Jangan jadi lagi

Bagaimanapun semua pihak yang terbabit sudah memohon maaf secara terbuka kepada Watson.

Di sebalik perkembangan berkenaan bekas atlet kebangsaan itu tetap membuat laporan polis di Miri hari ini dan meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan.

 

 

Merujuk kepada program Sukan Tak Sentral yang telah diulang tayang baharu-baharu ini, dengan rendah diri saya ingin memohon maaf secara peribadi kepada keluarga saudara Watson Nyambek kerana tanpa sedar telah mempersendakan nama baik ayah beliau. Saya amat menghormati atlet negara tersebut atas kejayaan yang telah mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa. Saya juga amat berterima kasih dan menerima segala komen yang diberikan dan ianya akan dijadikan panduan untuk saya menjalankan tugasan saya di masa akan datang untuk menjaga sensitiviti masyarakat dan negara. Sekali lagi, saya memohon maaf kepada di atas kesilapan ini dan akan memastikan perkara ini tidak akan diulangi. Azizul Ammar Abu Hassan

A post shared by AzizulAmmarAbuHassan (@armadaammar) on

 

Kata Watson, buat masa ini dia tidak dapat memberi kenyataan lebih lanjut kerana terlalu marah dengan tindakan penghinaan yang dilakukan ke atas bapanya.

"Saya betul-betul marah dan kecewa, saya tak boleh terima ia dilakukan oleh hos rancangan berkenaan.

"Saya harap kejadian begini tak berlaku lagi pada masa depan supaya kita boleh hidup dengan aman di negara ini," katanya.

Sementara itu The Star Online melaporkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar, berkata polis akan menyoal siasat pengacara Sukan Tak Sentral itu tidak lama lagi.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan sengaja menyebabkan aib dengan niat mengganggu keamanan.

Bapa Watson meninggal dunia kira-kira tiga tahun lalu.

Lihat Komen
ADS