Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Khairy: Aku layan je..
Diterbitkan:  May 8, 2017 5:24 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Jarang dapat melihat mana-mana menteri menjawab pandangan dilontarkan orang ramai, terutama di laman sosial seperti Facebook dan Twitter.

Sabtu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mengambil pendekatan berbeza apabila dilihat melayani beberapa karenah peminat sukan di ruangan Facebooknya.

Perkara itu dilakukan selepas beliau mengumumkan akan menjemput enam pasukan daripada kelab-kelab bolasepak komuniti untuk beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tujuannya, kata Khairy, adalah agar mereka dapat "merasmikan" dan merasai "aura" stadium itu yang baru dinaik taraf sempena Kejohanan Sukan Sea dan Para Asean 2017.

Susulan itu, seorang pengguna Facebook bernama Mubarouk Mahzan. memberikan pendapatnya agar stadium itu 'dijual' kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Ni cadangan saya jela. Lebih baik jual stadium ni dengan FAM. Sebabnya, faham-faham je la..TMJ ni otak dia lain macam. Dia akan berfikir macam mana nak menjimatkan kos FAM atau menaikkan FAM.

"Sampai sanggup menggunakan duit dia sendiri untuk menambahkan bajet FAM. TMJ ni jenis yang tak suka nak menyewa, jangan sampai kewangan FAM dah kukuh, lepas tu FAM membina stadium baru, lepas tu Stadium Bukit Jalil terbengkalai.

"Just harapkan Sea Games je la ek?? Sea Games bukannya tiap-tiap tahun Malaysia (jadi) tuan rumah. Ni just pendapat jelah," katanya di ruangan komen.

Khairy kemudian membalas pandangan berkenaan dengan jawapan "Aku layan je sebab dia ni konfiden je komen".

Seorang lagi pengguna akaun Facebook bernama Abdul Hamid Nasution pula berkata : "Power, power. Bila power macam ni semua orang suka. Kalau habis RM100 juta pun tak ada siapa nak bising."

Tidak dapat dipastikan apa yang dimaksudkan dengan isu RM100 juta itu tetapi ia dipercayai ada kaitan dengan kontroversi penyelewengan dana di KBS bernilai RM107 juta pada 2016.

Khairy kemudian membalas: "Peringatan tu ok. Tapi nada sinis memang orang boleh kesanlah. Jangan bila kena baru nak kata peringatan dan lain-lain. Soal amanah ini serius. Kalau nak buat tuduhan buat depan-depan dan jelas. Boleh setel di mahkamah. Awak boleh tunjuk bukti, kalau ada," katanya.

Irzaidy Ishak turut membangkitkan isu RM100 juta dengan berkata "RM100 juta senyap je...apa cerita."

Khairy kemudian membalas: "Tak senyap. Dah masuk mahkamah. RM30 juta bukan RM100 juta. Orang dah kena tangkap pun awak tak tahu. Pergi baca berita. Jangan malas," tegurnya.

Seorang lagi bernama Mustafa Ahmad berkata, itu adalah pertama kali dia melihat seorang menteri membalas komen pengguna media sosial.

"Ni pertama kali melihat seorang menteri membaca komen dan menjawab sendiri soalan dari pengguna FB. Tanpa mengguna setiausaha. Saya tabik pada KJ. Ni baru betul-betul telus," katanya.

Khairy berkata  "Saya malas masuk FB sebenarnya sebab komen tak bernas dan sebaran maklumat tidak berasaskan konsep tabayyun. Orang komen ikut suka hati sahaja,".

Lihat Komen
ADS