Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Pasukan miskin tiada tempat di Liga Super
Diterbitkan:  May 11, 2017 12:26 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

"Di bawah peraturan dan cara sekarang pasukan miskin sudah tiada tempat lagi di Liga Super," itu luahan dilontarkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.

Dalam mengenang nasib yang menimpa skuad The Red Warriors (TRW), beliau menyatakan kesedihan dengan masalah kewangan yang dialami pengurusan pasukan itu.

"Kegembiraan bila melihat TRW sentiasa istimewa walau dalam susah.

"Sedih apabila tengok kita miskin tak cukup duit dan semua orang membiarkan kita terkapar-kapar," katanya dalam tulisan di Facebook malam tadi.

Terdahulu, Kelantan adalah antara empat pasukan yang dihukum Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) kerana gagal melengkapkan proses pendaftaran seperti yang ditetapkan.

Kafa didapati gagal mengemukakan surat penyelesaian bayaran tunggakan kepada pemain dan pengurusan pasukan Kelantan sebelum 2017.

Akibatnya kesemua pasukan itu dikenakan denda pemotongan enam mata.

Tiga pasukan lain yang mengalami nasib sama ialah T-Team, Perlis dan ATM.

Doakan yang terbaik

Selain itu, Kafa juga dilarang mendaftar pemain baru sepanjang tempoh pendaftaran kedua tidak lama lagi jika mereka gagal melengkapkan proses pendaftaran tersebut sebelum 15 Mei ini.

Annuar sebelum ini menyifatkan tindakan pemotongan mata itu bersifat ugutan dan bukannya membantu pasukan yang bertanding.

Beliau kini menyatakan skuad TRW terus ditekan dari pelbagai sudut, termasuk melibatkan 'godaan' daripada pasukan lain yang cuba memancing pemain mereka.

"Lebih sedih apabila mengetahui ramai pemain cuba dilarikan, walau sepatutnya pemain dalam kontrak tak boleh dihubungi atau ditawarkan pintu belakang, tapi ramai pemain sudah dipancing.

"TRW mungkin tidak lagi wujud dalam liga Malaysia tak lama lagi.

"Saya doakan yang terbaik jika masih ada peluang untuk pasukan negeri ini beraksi atas nama negerinya," kata Annuar.

Pasukan kendalian Zahasmi Ismail itu kini berada di tangga ketujuh dengan mengumpul 13 mata selepas mengharungi 12 perlawanan dengan enam kemenangan, satu seri dan lima kekalahan.

Lihat Komen
ADS