Paling Popular
Terkini

Perlawanan Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2019 melibatkan Malaysia dan Korea Utara di Pyongyang pada 8 Jun ini, wajar diteruskan sepertimana arahan dikeluarkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada awal bulan ini.

Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata skuad negara tidak perlu bimbang kerana keputusan dibuat AFC itu telah mengambil kira semua aspek terutama membabitkan keselamatan pemain.

"Bagi saya, keputusan dibuat AFC itu perlu dipatuhi, dan kalau kita lihat kepada faktor politik sekali pun, hubungan antara Malaysia dan Korea Utara telah reda tanpa sebarang pertikaian serius.

"Justeru, saya rasa tiada apa yang perlu dibimbangkan dan pemain perlu menunjukkan komitmen terbaik semasa beraksi nanti," katanya ketika ditemui Bernama di Kelab Diraja Ipoh di Ipoh, hari ini.

Sebelum ini pada 11 Mei lepas, Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah baginda tidak bersetuju perlawanan membabitkan pasukan kebangsaan dan Korea Utara di Pyongyang diteruskan sepertimana arahan AFC.

Keputusan itu berdasarkan kebimbangan baginda terhadap faktor keselamatan dan kemudahan pemain berikutan ada beberapa jurulatih bola sepak asing pernah merungut tentang layanan buruk yang diterima mereka sepanjang berada di Korea Utara.

Mengulas lanjut, Raja Ahmad Zainuddin berkata sekiranya skuad kebangsaan tidak meneruskan aksi di Pyongyang, ​​beliau bimbang FAM akan berdepan tindakan denda US$50,000 selain tidak dibenarkan menyertai mana-mana kejohanan dianjurkan AFC.

"Jadi saya fikir, kita perlu teruskan dan kalau kejadian tidak diingini berlaku, AFC perlu bertanggungjawab selaku pihak yang menganjurkan perlawanan itu," katanya.

Beliau juga berharap pemain negara akan mempamerkan prestasi terbaik pada perlawanan berkenaan, dan tidak terganggu dengan masalah yang berlaku sebelum ini, melibatkan kedua-dua negara. -Bernama

Lihat Komen
ADS