Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan

FIBA Asia 3X3 | Kita telah menunggu selama 28 tahun untuk akhirnya mendapat satu kemenangan mengatasi Filipina yang umumnya dikenali sebagai pasukan terbaik di Asia Tenggara dan juga di Asia.

Bukannya mudah, walaupun Malaysia juga menduduki tempat kedua di Asia Tenggara, satu-satunya perlawanan yang kita kecapi dan mengalahkan Filipina pada Sukan Sea 1989. Pasukan bola keranjang lelaki kebangsaan memenangi pingat emas pada tahun itu.

Sukan bola keranjang adalah sukan utama di Filipina, lain pula di Malaysia. Walaupun kebanyakan peminat bola keranjang didominasi kaum Cina, namun ramai juga peminat dari kalangan Melayu, India dan Bumiputera Sabah, Sarawak yang turut mengikuti perkembangan bola keranjang negara dan juga NBA di Amerika Syarikat.

Kemenangan paling manis untuk negara menebus kekalahan tipis tahun lalu dalam kejohanan FIBA 3X3 Asia bawah 18 tahun yang turut diadakan di Cyberjaya, Malaysia akhirnya menumpaskan Filipina 21-17.

Malaysia kalah kepada Filipina tahun lalu, 20-21 dalam satu pertarungan yang sengit.

Layak ke pusingan seterusnya, kedua-dua skuad kebangsaan lelaki dan wanita bawah 18 tahun perlu mengatasi lawan mereka untuk mencapai podium.

Untuk para pemain skuad lelaki kebangsaan, berikut adalah luahan hati mereka setelah mendapat kemenangan berturut-turut mengalahkan Kazakhstan dan Filipina:

Low Ken Yen
Saya rasa gementar dalam perlawanan pertama dengan Kazakhstan. Dengan Filipina pula, saya sudah agak biasa dengan cara permainan mereka.

Apabila kami berjaya menumpaskan Filipina dalam perlawanan itu, saya berasa amat puas hati kerana Malaysia dapat mendapatkan kemenangan kembali dalam tangan setelah sekian lama.

Meagan Mahadevan
Kami tidak berputus asa dan teruskan perjuangan sehingga akhirnya. Inilah semangat yang kami sentiasa terapkan dalam setiap perlawanan. Pada awal perlawanan, kita agak gementar dan ini bukanlah satu alasan kerana tekanan yang hebat daripada pihak lawan.

Ini merupakan kali pertama untuk kami beraksi dalam FIBA 3X3 Asia dan saya sendiri berasa gemuruh. Lagipun, saya pun tidak dapat mencapai sasaran saya sendiri setakat ini.

Kemenangan ke atas Filipina, cukup manis untuk semua termasuklah para peminat bola keranjang di Malaysia. Perjuangan kami belum berakhir, Malaysia akan terus berusaha gigih untuk mengalahkan Lebanon di suku akhir. Pingat emas? Saya yakin kami akan dapatkan untuk Malaysia.

Phan Wee Chen
Sangat berbangga dengan kemenangan berturut-turut hari ini, terutamanya apabila kami berjaya mengalahkan Filipina dalam perlawanan ini setelah sekian lama. Tahun lalu, kami hampir mendapat kemenangan tetapi tidak kesampaian.

Saya tidak mempunyai persepsi bahawa kami tidak dapat menangani Filipina. Saya sendiri juga kacukan Filipina dari sebelah ibu dan saya juga yakin dengan kebolehan diri sendiri.

Dalam perlawanan suku akhir nanti dengan Lebanon, pemain mereka mempunyai kelebihan dalam ketinggian mereka. Kami perlu mendapatkan mata daripada jaringan di luar perimeter untuk menang.

Melalui dua perlawanan hari ini, pada saat kita didahului pasukan lawan, kita tidak harus berputus asa. Percaya dengan diri sendiri, perjuangan itu belum berakhir selagi kemenangan itu belum dikecapi.

Thea Zhong Shin
Gembira, sangat sangat gembira dan berpuas hati. Dalam saat kita dikejar mata oleh Filipina, saya memberitahu diri sendiri untuk kembalikan penguasaan. Kejar kembali dan habiskan perlawanan itu. Kalau kami kalah kepada Filipina (naib juara tahun lalu), Malaysia perlu berdepan dengan Qatar yang merupakan juara bertahan tahun lalu.

Kami masih perlu kembali ke pelan strategi sebelum menghadapi perlawanan suku akhir dan seterusnya. Ada lagi kelemahan dalam corak permainan pasukan kami, skuad Malaysia perlu atasi Lebanon untuk ke pusingan seterusnya.

Untuk saya, kami ingin layak ke pusingan akhir nanti. Pingat emaslah sasaran utama pasukan Malaysia.

Lihat Komen
ADS