Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Sukan
Skuad England jadi komando sebelum 'berperang'
Diterbitkan:  Jun 6, 2017 12:04 PM
Dikemaskini: 4:12 AM

Menjelang dua perlawanan terdekat, skuad bola sepak England bukan sahaja membuat latihan taktikal di padang, sebaliknya turut mempersiapkan diri dengan latihan ala komando tentera marin.

Berlangsung pada minggu lalu, skuad bimbingan Gareth Southgate itu menjalani latihan menjerihkan itu selama 48 jam di Pusat Latihan Komando Marin Diraja British.

Matlamat mereka ialah, mempersiapkan minda sebelum turun 'berperang' melawan Scotland dan Perancis.

Pertemuan dengan Scotland melibatkan saingan kelayakan Piala Dunia 2018 pada 10 Mei ini, manakala pertembungan dengan Perancis tiga hari kemudian adalah satu daripada siri aksi persahabatan skuad berkenaan.

Justeru sebelum kembali menyarung jersi bola, pemain-pemain seperti Jemain Defoe, Adam Lallana, Raheem Sterling dan rakan-rakan mereka terlebih dahulu menyarung seragam tentera marin.

Mereka pastinya tampil berbeza dengan kebiasaanya memakai pakaian sukan atau seragam bola sepak.

Dalam latihan itu, barisan pemain The Three Lions diuji dengan pelbagai rintangan seperti meredah air, berkhemah di hutan dan menconteng muka seperti askar mahu berperang, sekali gus menjalani kehidupan seperti anggota tentera.

Mengulas mengenai latihan itu Southgate berkata, dia mahu memperkenalkan sesuatu yang berbeza kepada anak buahnya.

Marin, pemain banyak persamaan

Katanya, latihan itu akan menjadikan pemain lebih cepat bekerjasama dan serasi sebagai satu pasukan.

"Kami datang dan menjadi seseorang pada sisi berbeza, sesuatu yang tidak pemain sangka.

"Tema kem ini adalah tentang harapan, iaitu bagaimana kami dapat menyesuaikan diri ketika menghadapi situasi sukar dalam satu pasukan," katanya seperti dilaporkan devonlive.com.

Jurulatih 46 tahun itu berkata, pasukan kebangsaan England mempunyai peranan sama seperti tenteran marin iaitu membawa nama baik England dan negara.

"Mereka ini (tentera) mewakili Ratu England dan kami melakukan perkara yang sama," kata Southgate.

Sementara itu, komandan pusat latihan itu Kolonel Mike Tanner, menyifatkan barisan pemain England sudah menikmati cabaran dalam latihan tersebut.

"Skuad Tentera Marin Diraja dan pasukan bola sepak England memiliki banyak persamaan dan peluang untuk berkongsi pengalaman.

"Ini sangat berharga bagi kami semua. Kami yakin ini menjadi permulaan hubungan jangka panjang dan berjaya," ujarnya.

Sementara itu, England kini sedang mendahului Kumpulan F dalam kelayakan Piala Dunia 2018 zon Eropah selepas meraih 13 mata daripada lima perlawanan.

Lima pasukan lain di bawah England ialah Slovakia, Slovenia, Scotland, Lithuania dan Malta.

Lihat Komen
ADS