Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Sekitar dua minggu sudah jurulatih kebangsaan baru, Nelo Vingada, menjejakan kaki ke bumi Malaysia - negara yang kini berada pada kedudukan ke-155 bola sepak dunia.

Kini rata-rata rakyat khususnya peminat bola sepak tempatan sedang mengalihkan pandangan ke bumi Larkin. Bukan pada Harimau Selatan tetapi Harimau Malaya juga sudah berhijrah dan bertapa di sana.

Seramai 26 pemain sudah menerima sentuhan pertama jurulatih dari Portugal itu di samping pembantunya, Tan Cheng Hoe serta penolong-penolong jurulatih yang lain.

Daripada jumlah pemain itu, 11 orang adalah dari pasukan JDT yang kini disebut-sebut menjadi penanda aras kemajuan bola sepak negara, malah dibanggakan kerana rekod menjuarai Piala AFC 2015.

Malah, skuad bimbingan Benjamin Mora itu adalah penguasa sukan bola sepak tahan air. JDT ada segala-galanya yang tidak ada oleh pasukan tempatan lain.

Dengan jumlah pemain Harimau Selatan yang dipanggil itu pun sudah cukup untuk membentuk satu pasukan negara, manakala yang lain mungkin boleh bersila di bangku simpanan.

Situasi itu boleh saja berlaku sekiranya pemain lain tidak mempamerkan prestasi lebih baik berbanding barisan pemain JDT yang sentiasa memberi komitmen mantap mereka.

Kita ada Safiq Rahim, Ahmad Hazwan Bakri, Amirulhadi Zainal, S Chanturu, Mahalli Jasuli dan yang lain-lain sudah membuktikan kemampuan mereka di kancah liga tempatan.

Kini tenaga, semangat dan kebolehan mereka akan menjadi taruhan di pentas antarabangsa, berjuang untuk negara dan seisinya. Sebagai satu skuad baru, jurulatih baru dan di bawah pengurusan FAM yang baru.

Dan sekitar dua tahun sudah juga, insiden yang paling diingati melibatkan skuad bola sepak negara - ketika itu dikendali Dollah Salleh - anak-anak Malaysia dibelasah 0-10 ketika menentang Emiriah Arab Bersatu.

Kita tidak mahu perkara seumpama itu berulang lagi, tidak kira pemain mana baik muda atau 'kuda tua' sekali pun keaiban itu perlu dielak sama sekali.

Menanti sinar

Itu kisah 2015, selepas Datuk Ong Kim Swee mengambil alih pasukan juga tidak banyak yang berubah. Dan kini giliran Malaysia sekali lagi melalui gelombang baru dibawa Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Semua pihak meletakkan harapan tinggi pada kepimpinan FAM kali ini untuk melihat betapa bola sepak Malaysia lebih gah pada masa akan datang

Barangkali kita boleh sedikit sombong untuk mengatakan bahawa, Malaysia mempunyai seorang pemimpin bola sepak berwibawa, berwawasan, berpengetahuan dan cita-cita tinggi. Ada kemegahan kini terbit dari dada-dada sekalian rakyat.

Ada sinar yang diharapkan akan menyuluh kembali ketika Harimau Malaya dinanti-nanti kebangkitannya, mengaum dan mengecewakan perasan lawan di atas padang.

Kini di tangan Vingada dan di belakangnya ada Tunku Mahkota Johor yang tidak akan terlepas memerhati gerak kerja pembangunan bola sepak negara.

Tarikh 13 Jun menjadi ujian pertama Vingada dan anak-anak buahnya. Malaysia akan berdepan skuad kebangsaan Lubnan dalam aksi Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2018 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Selamat berjuang Harimau Malaya!
 

Lihat Komen
ADS