Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Adeq mahu baiki teknik larian sebelum Sukan SEA
Diterbitkan:  Jun 17, 2017 2:48 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menyasarkan untuk memperbaiki teknik lariannya bagi mencerahkan peluang meraih pingat emas dalam acara 100m wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.

Pemegang rekod kebangsaan 100m itu atau dikenali dengan panggilan 'Adeq' dalam kalangan rakan sepasukan menjelaskan, cabaran utama pada Sukan SEA dijangka hadir dari atlet Vietnam, Tu Chinh Le yang menewaskannya pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand yang berakhir Khamis lepas.

"Walaupun kalah di Thailand, belum tentu kita akan kalah di Sukan SEA dan kekalahan itu semestinya memberi lebih semangat kepada Adeq untuk memperbaiki kelemahan yang ada.

"Adeq lihat mungkin kelemahan yang ada ketika ini adalah untuk perbaiki teknik larian dan pecutan dan Adeq harap jurulatih, M. Balamurugan dapat bantu Adeq dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setibanya skuad olahraga negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang dari Bangkok, di Sepang, malam tadi.

Mengulas mengenai prestasinya pada Kejohanan Trek dan Padang Terbuka Thailand yang berakhir Khamis lepas, Zaidatul berpuas hati dengan kutipan satu pingat emas dalam acara 4x100m wanita dan satu perak dalam acara 100m yang merupakan tonik terbaik untuk dirinya sebelum menghadapi Sukan SEA 2017.

Beliau turut memaklumkan beliau akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia ke-22 dari 6-9 Julai ini di India.

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS