Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Sukan
Dicabar hebat, Malaysia tetap kalahkan Scotland

Skuad wanita kebangsaan Scotland memberi cabaran getir buat pasukan wanita Malaysia dengan asakan di awal perlawanan, namum mereka tetap kecundang di tangan skuad negara dengan perbezaan tiga mata, 67-64.

Pang Hui Pin muncul penjaring terbaik untuk Malaysia dengan 14 mata, 10 rebound dan 3 assist manakalan Yap Fook Yee pula menjaringkan 14 mata dan 6 rebound.

Masuk ke suku keempat, perlawanan masih belum melihat penguasaan gelanggang dari mana-mana pasukan dan juga terikat mata 59-59.

"Saya sangat berpuas hati secara keseluruhannya dan bangga dengan semangat tidak menyerah kalah walau dicabar hebat termasuk di saat-saat akhir.

"Saya akui kita sepatutnya mengambil time out dalam dua saat akhir perlawanan tetapi saya sengaja membiarkannya. Saya mahu lihat bagaimana mereka mengatasi tekanan perlawanan dalam minit akhir, dan apa yang mereka akan lakukan supaya pihak lawan tidak mendapat jaringan.

"Jika bola itu diambil oleh pihak lawan dan menjaringkannya, kita pula akan terikat mata. Saya rasa kita dapat melihat hasil yang sangat baik," kata jurulatih pasukan wanita Malaysia, Yoong Sze Yuin selepas perlawanan semalam.

Yoong berkata, ini adalah satu pendedahan dan latihan buat pasukan Malaysia dan perlawanan dengan Scotland memaksa mereka mengambil pendekatan yang lain ketika berdepan pasukan yang lebih fizikal dan efektif di garisan perimeter, khususnya dalam kawasan jaring.

"Dalam separuh masa pertama, kita terlalu fokus dalam garisan dalam dan jaringan pihak lawan juga agak tepat.

"Dalam penstrukturan strategi, saya pada mulanya menggunakan pertahanan zon dan saya rasa pemain kita tidak dapat menyesuaikannya dengan pergerakan Scotland yang pantas," katanya.

Scotland memulakan serangan awal dan menjaringkan 8 mata dalam minit-minit awal dalam suku pertama. Namun, skuad Malaysia tidak kurang hebatnya dan pantas mengembalikan penguasaan dengan 9 mata berturut-turut termasuklah jaringan tiga mata daripada Chong Yin Yin, 9-8.

Gandingan Pang Hui Pin dan Yap Fook Yee mengukuhkan serangan dalam dan luar garisan dan menamatkan suku pertama dengan kelebihan tiga mata, 21-18.

Ini antara perlawanan yang agak sengit untuk Malaysia dengan Scotland yang beraksi lebih agresif dan pertahanan yang mantap. Masih terkial-kial mencari mata jaringan, Malaysia masih dapat lagi menamatkan separuh masa pertama terikat 37-37.

Sementara itu, skuad wanita Malaysia akan berentap dengan Taiwan Nanshan High School dalam perlawanan terakhir pada jam 6 petang, hari ini.
 

Lihat Komen
ADS