Paling Popular
Terkini
mk-logo
Sukan
Tiada video bantuan pengadil sehingga 2019
Diterbitkan:  Jun 20, 2017 2:50 PM
Dikemaskini: 6:54 AM

FAM menangguhkan penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam liga Malaysia sehingga ke 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh, berkata buat sementara ini penggunaan VAR masih di peringkat percubaan.

Katanya, susulan mesyuarat jawatankuasa pengadil semalam mereka sebulat suara untuk penangguhan penggunaan VAR berdasarkan beberapa sebab utama.

"VAR masih dalam proses eksperimen sejak awal 2017 dan semua negara anggota Fifa yang terlibat masih dalam proses penyesuaian.

"Laporan berkaitan perlaksanaan VAR kemudian akan diserahkan kepada Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) diselaraskan dan proses penambahbaikan," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Subkhiddin juga memberitahu Jawatankuasa Pengadil FAM juga masih mengkaji beberapa kelemahan VAR yang berlaku sepanjang percubaan di Hyundai A-League Australia dan yang terbaru, kejohanan Piala Dunia Fifa Bawah 20 Tahun.

Sebelum ini, penggunaan VAR mendapat perhatian serius Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menyarankan teknologi pengadilan itu dapat digunakan dalam saingan liga Malaysia pada musim depan.

Tunku Mahkota Johor itu menzahirkan minat mendalam penggunaan teknologi VAR yang kini sedang dikaji IFAB.

Projek separa matang

Susulan itu, FAM mengambil langkah awal dengan menjemput Syarikat Hawk-Eye Innovations iaitu salah satu syarikat pembekal VAR yang telah dikenalpasti oleh IFAB, untuk memperkenalkan konsep penggunaan teknologi berkenaan kepada FAM.

Subkhiddin berkata, VAR dijangka akan digunakan sepenuhnya dalam Piala Dunia 2018 di Rusia dan segala keputusan berkaitan keberkesanan VAR dijangka hanya akan diperolehi selepas kejohanan terbesar itu.

Justeru katanya, adalah sangat bersesuaian supaya hasil daripada laporan yang bakal disediakan oleh Jawatankuasa Teknikal Fifa selepas daripada kejohanan ini dapat dijadikan panduan kepada semua negara anggota termasuk Malaysia untuk memutuskan keberkesanan VAR dalam saingan liga tempatan.

"Jawatankuasa berpendapat VAR masih lagi ‘projek separa matang’ dari sudut keberkesanannya dan tidak sesuai sama sekali untuk menjadikan liga Malaysia musim 2018 sebagai bahan kajian yang memungkinkan lebih banyak salah faham dalam pengurusan bola sepak negara.

"Oleh itu adalah lebih wajar untuk FAM menunggu sehingga VAR benar-benar menepati keperluan dan dinyatakan secara jelas dalam Laws of The Game 2018-2019," katanya.

Tambah bekas pengadil Piala Dunia 2010 itu, VAR dikaji secara intensif oleh Fifa dan dipraktikkan pada beberapa kejohanan besar Piala Dunia Kelab 2016, Kejohanan Piala Dunia Bawah 20 dan yang kejohanan Piala Konfederasi Rusia.

"Pada prinsipnya Fifa berharap VAR akan dapat dimuktamadkan penggunaannya tanpa sebarang kecacatan pada Kejohanan Piala Dunia 2018," katanya.

Lihat Komen
ADS