Paling Popular
Terkini

Berikut adalah corat-coret daripada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 yang berlangsung sehingga 2 Sept ini:

Jambatan Ampera, Sungai Musi

Pemandangan indah di sekitar Sungai Musi dan Jambatan Ampera menjadi tarikan utama kepada pengunjung ke Palembang.

Mereka tidak melepaskan peluang mengambil gambar dengan menjadikan jambatan tersebut sebagai latar belakang. Ia memang indah terutamanya pada waktu matahari terbit dan terbenam.

Selain pelancong, warga tempatan turut membanjiri kawasan sekitar Jambatan Ampera untuk membeli pelbagai barangan termasuk di Pasar 10 Ulu.

Turut menjadi tarikan ialah beberapa restoran dan kedai makanan di tebing Sungai Musi kerana pengunjung boleh menjamu selera sambil melihat bot-bot kecil atau tongkang besar berulang-alik di sungai itu.

LRT memudahkan petugas dan atlet

Perkhidmatan sistem transit aliran ringan (LRT) di Palembang memudahkan atlet, pegawai, sukarelawan, sekretariat dan media untuk pergi ke lokasi tertentu dan mengelak kesesakan lalu-lintas.

Kemudahan LRT Sumatera Selatan ini - iaitu LRT pertama di Indonesia - dibuka sebelum temasya Sukan Asia ke-18 bermula.

Ia menghubungkan Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Mahmud Badaruddin II dengan Kompleks Sukan Jakabaring, dengan kekerapan setiap 30 minit.

Walaupun belum beroperasi sepenuhnya, perjalanan sepanjang 24.5km dari lapangan terbang menyajikan pelbagai pemandangan, terutamanya apabila melintasi Sungai Musi.

Laluan LRT ini selari dengan Jambatan Ampera yang menjadi mercu tanda Palembang.

Bagaimanapun, LRT ini hanya beroperasi sehingga 7.30 malam sahaja, berbanding di kebanyakan bandar raya utama lain, termasuk Kuala Lumpur yang menawarkan khidmatnya sehingga hampir tengah malam.

Selain LRT, tempahan pengangkutan, termasuk membonceng motosikal menerusi aplikasi Grab dan ‘Go-Jek’ turut menjadi pilihan orang ramai.

Jalan ditutup untuk berhibur

Jalan Jenderal Sudirman ditutup pada setiap hujung minggu untuk memberi laluan kepada pelbagai aktiviti hiburan di Palembang yang merupakan ibu negeri Sumatera Selatan.

Hampir 2km jalan utama itu dikhaskan kepada orang awam menjalankan pelbagai aktiviti hiburan sehingga awal pagi. Ia ditutup kepada kenderaan pada setiap Jumaat dan Sabtu.

Antara aktiviti yang diadakan adalah persembahan nyanyian kumpulan busker, karaoke, jualan juadah tempatan, pertunjukan ular, lukisan potret dan sebagainya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS