Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Sukan
Sukan Asia: Skuad memanah negara langkah ke pusingan pertama

Skuad memanah kebangsaan yang memulakan saingan hari pertama di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Jakarta hari ini mempamerkan prestasi positif dalam usaha mengharumkan nama negara pada temasya itu.

Pada aksi yang berlangsung di Lapangan Memanah Gelora Bung Karno di Jakarta, trio lelaki dan wanita negara masing-masing berjaya melepasi pusingan penentuan ranking acara recurve berpasukan untuk melangkah ke pusingan pertama Sabtu ini.

Trio lelaki negara yang dibarisi Khairul Anuar Muhammad, Haziq Kamaruddin dan Muhammad Akmal Nor Hasrin menamatkan saingan di kedudukan kelima terbaik selepas mengumpul 1,967 mata keseluruhan di belakang China, Taiwan, Kazakhstan dan Korea Selatan.

Lawan negara di pusingan pertama masih belum ditentukan.

Sementara itu, trio wanita yang terdiri daripada Nur Aliya Ghapar, Nuramalia Haneesha Mazlan dan Loke Shin Hui yang memulakan aksi di sebelah pagi mengutip 1,871 mata untuk berdepan Kazakhstan.

Pemenang pingat Perak di Incheon

Bagi Khairul Anuar yang merupakan pemenang pingat perak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, beliau mengakui tidak beraksi pada tahap terbaiknya hari ini susulan faktor cuaca yang mengakibatkan beliau terlalu berjaga-jaga dalam membuat panahan.

“Secara keseluruhan saya kurang berpuas hati kerana saya tahu saya boleh buat lebih baik daripada ini. Faktor angin menyebabkan saya terlalu berhati-hati ketika membuat panahan dan sudah semestinya saya akan cuba atasi persembahan hari ini pada Sabtu,” katanya ketika ditemui Bernama di Jakarta, hari ini.

Sementara itu, pengurus pasukan Datuk Johari Saleh berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemanah wanita negara yang turut menyaksikan Nuramalia Haneesha berjaya memperbaharui rekod peribadinya dengan catatan mata 624.

“Kita bermula dengan agak goyah pada panahan pertama tetapi berjaya bangkit pada panahan kedua dan saya rasa Malaysia mempunyai peluang untuk melangkah lebih jauh selepas ini,” katanya.

Dalam pada itu, rekod Sukan Asia berjaya diperbaharui oleh trio lelaki dan wanita Korea Selatan selepas masing-masing meraih 2,037 dan 2,038 mata.

- Bernama

Lihat Komen
ADS