Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Muhammad Amin Hadarih menimbulkan rasa kagum orang ramai terhadap kehebatannya menjuarai pelbagai peraduan dan meraih hadiah lumayan seperti kereta, tiket percutian dan sejumlah besar wang tunai.

Lantaran itu tular di media sosial pertanyaan tips bagaimana pensyarah Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) itu begitu mudah menang sekian banyak peraduan?

Namun, Muhammad Amin, 33 tahun menjelaskan kepada Malaysiakini ia tidak semudah yang disangka ramai pihak.

Katanya, sepanjang 13 tahun dia menyertai pelbagai peraduan, tidak semua yang dimenanginya.

“Lebih kurang 300 lebih peraduan yang telah saya sertai. Banyak juga peraduan yang saya tidak dinobatkan sebagai juara.

“Saya juga seperti orang lain apabila menyertai apa-apa pertandingan dengan harapan yang tinggi ingin menang tetapi jika sebaliknya saya akan kecewa.

“Jadi saya sentiasa memegang prinsip apabila menyertai sesuatu pertandingan saya akan mencuba sehabis baik.

“Tetapi jika kalah saya akan melihat bagaimana pemenang punya hasil dari segi kreativiti dan sebagainya untuk saya perbaiki mana yang perlu untuk peraduan seterusnya,” katanya.

Inspirasi arwah kakak

Muhammad Amin yang juga pensyarah pensyarah seni grafik dan landskap memberitahu Malaysiakini, minatnya terhadap melukis bermula sewaktu dirinya masih kecil lagi.

“Sewaktu saya masih kecil saya selalu melihat arwah kakak (Fairus) melukis.

"Kerana arwah sememangnya mahir dalam melukis. Apabila saya selalu duduk sekali melihatnya melukis jadi minat itu datang dengan sendiri.

“Jadi saya terinspirasi daripada arwah untuk melukis. Kebetulan waktu saya kecil saya suka menconteng rumah dengan melukis gambar pemandangan, pokok-pokok dan juga gambar orang.

“Yang membuatkan saya lagi bersemangat apabila keluarga saya iaitu mak dan ayah saya tidak marah atau melarang tindakan saya itu,” katanya.

Tambahnya lagi, dia turut menyertai pertandingan melukis dan mewarna sejak di awal bangku persekolahan sehingga melanjutkan pengajian di peringkat tinggi menyambung bidang seni kerana mendapat dorongan daripada kedua orang tuanya.

Antara peraduan yang dimenangi Muhammad Amin ialah pertandingan gambar kreatif anjuran McDonalds Malaysia, apabila dia mendapat tempat pertama dan merangkul hadiah tajaan percutian bernilai RM 10,000 ke Korea Selatan.

Sentuhan seninya juga menjuarai peraduan gambar kreatif hasil anjuran Rasaku dan ditaja pakej pelancongan ke Pulau Krabi, Thailand.

Dia juga pernah menjadi johan peraduan anjuran Traveloka dan ditaja percutian ke Korea Selatan.

Anak kelahiran Pekan, Pahang itu turut beroleh rezeki sebuah kereta Proton model X70 apabia dinobatkan juara peraduan gambar kreatif Proton X Huawei.

Kongsi tips

Sementara itu, Muhammad Amin berkongsi petuanya menyertai peraduan kepada Malaysiakini.

Katanya, peserta perlu teliti dalam membaca syarat yang dikehendaki oleh pihak penganjur supaya hasilnya menepati kriteria yang dikehendaki.

Muhammad Amin berkata dia memilih menyertai peraduan yang dapat menonjolkan daya cipta dan idea berkaitan minatnya dalam bidang seni seperti pertandingan gambar dan video kreatif, serta melukis atau mewarna.

“Saya mula menyertai peraduan pada tahun 2012 ketika berumur 21 tahun. Saya melihat di dada akhbar terdapat peraduan melukis kereta jadi saya mencabar diri untuk mencuba.

“Saya tidak sangka apabila diumumkan sebagai pemenang dan mendapat hadiah sebuah kereta Perodua Viva.

"Bermula dari situlah saya mula mencari tahu jika terdapat peraduan yang saya boleh sertai di media sosial, melihat borang-borang di pusat beli belah dan ada juga kawan-kawan yang memberi info untuk saya mencuba nasib,” katanya.

Menurut Muhammad Amin peraduan yang disertainya itu merupakan hobi sambilannya kerana dia perlu menumpukan lebih banyak fokus terhadap pekerjaannya sebagai seorang pendidik.

“Ada juga beberapa peraduan yang saya terlepas kerana perlu memberi fokus utama terhadap komitmen kerja. Selagi ada masa dan idea baru saya akan teruskan dunia peraduan saya ini,” katanya.

Jelas jejaka itu lagi, dia masih kekal aktif sehingga sekarang menyertai pelbagai peraduan.

Baru-baru ini, Muhammad Amin mendapat tempat kedua dalam peraduan gambar raya kreatif momen syawal anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

https://mk.my/wa_mkinibm

Lihat Komen
ADS