Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PRK KKB | Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu untuk PN dan PH bertembung antara satu lain ketika berkempen di pasar pagi Batang Kali hari ini.

Calon PN Khairul Azhari Saut dan calon PH Pang Sock Tao dilihat sempat berbual dan mengambil gambar bersama sebelum masing-masing meneruskan aktiviti meraih undi.

Khairul Azhari diiringi oleh Ahli Parlimen Hulu Selangor Hasnizan Harun, manakala Pang dibantu Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman.

Shayredzan dan Khairul masing-masing turut mengucapkan selamat hari raya.

Sementara itu, Khairul Azhari berkata sepanjang tempoh berkempen ini, dia tidak mahu melakukan sebarang provokasi yang menyentuh calon lawan selain berazam mahu berkempen dengan cara positif.

"Fokus saya bertemu penduduk seramai yang boleh," katanya, lapor Harian Metro.

"Kita bersaing dan berkempen secara sihat, kita perlu hormati sesama lain. Tidak cakap pasal kempen cuma bertegur sapa sahaja," katanya lagi.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon PN Khairul Azhari Saut, calon PH Pang Sock Tao serta dua calon lain, Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan PRK DUN Kuala Kubu Bharu akan diadakan pada 11 Mei manakala tarikh pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei depan.

Daripada jumlah itu, seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, 238 orang tentera dan pasangan, 625 orang polis dan seorang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Kuala Kubu Bharu yang dikenali sebagai 'kerusi campuran' dengan pecahan pengundi Melayu (46 peratus), Cina (30 peratus) dan India (18 peratus) dan lain-lain (6 peratus).

Seramai 40,226 pengundi layak mengundi pada PRK ini.

Lihat Komen
ADS