Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu kasino: Peguam kesal Badrul ditahan
Diterbitkan:  Apr 28, 2024 4:04 PM
Dikemaskini: 8:05 AM

Peguam bela kepada Badrul Hisham Shaharin, Muhammad Rafique Rashid Ali mendesak kerajaan supaya berhenti "menyalahgunakan" Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Muhammad Rafique mengkritik penahanan ahli Bersatu terbabit dengan menyifatkannya sebagai tindak balas kerajaan terhadap kritikan.

"Jika ini bukan intimidasi, apa yang boleh kita panggil," katanya ketika sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi tadi yang disiarkan secara langsung di saluran Youtube Viral YB.

Menurut Rafique, Badrul disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Ahli Bersatu itu telah menyiarkan tangkap layar laporan Bloomberg yang memetik sumber mengenai perbincangan peringkat awal kerajaan dengan Berjaya Corporation Berhad dan Genting Malaysia Berhad untuk membina sebuah kasino di Forest City, Johor.

Menerusi hantaran di media sosial, Badrul menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai hab kewangan yang akan dibina di Forest City.

Rafique berkata Badrul ditahan berikutan laporan individu yang telah melihat hantaran berkenaan di Facebooknya dan dia dijangka dibebaskan esok.

"Anak guam saya bersedia untuk 'terus berjuang'. Kerajaan mesti menjawab (isu) ini.

Gambar fail, Badrul Hisham Shaharin.

“Pihak berkuasa, seperti SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), dan Kementerian Dalam Negeri mesti menyiasat bagaimana organisasi berita asing boleh meletakkan (sic) nama besar dalam laporan mereka.

"Ini bukan perkara biasa kerana ia melibatkan perjudian, yang dilarang dalam Islam," tegas Rafique.

Dia turut menyoal mengapa Badrul ditahan sedangkan anak guamnya itu sentiasa memberi kerjasama dengan pihak berkuasa.

Terdahulu, laporan Bloomberg memetik sumber sebagai mendakwa, Malaysia sedang berunding dengan beberapa taikun untuk menubuhkan kasino di sana dan Anwar telah bertemu dengan pengasas Berjaya Corp Vincent Tan dan Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting pada minggu lalu.

Menurut laporan itu, wakil Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta pegawai kanan kerajaan lain, turut hadir pada mesyuarat itu.

Pada 25 April Anwar menjelaskan laporan berkenaan adalah tidak benar sama sekali.

Genting Malaysia dan Berjaya turut menafikan sebarang peranan mereka dalam perbincangan untuk membuka kasino kedua di Forest City.

Lihat Komen
ADS