Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rampasan Bugatti berkaitan 1MDB: Polis, SPRM kerjasama dengan pihak Jerman
Diterbitkan:  Apr 28, 2024 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM

Pihak berkuasa Malaysia bekerjasama dengan polis Jerman bagi mengesahkan maklumat berhubung empat buah kereta model Bugatti Veyron yang dirampas di Munich, Jerman beberapa hari lalu, dipercayai berkaitan dengan skandal 1MDB.

Menurut laporan Berita Harian, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan pihaknya sedang bekerjasama dengan polis negara itu.

"Apa juga bantuan dikehendaki, PDRM akan sedia membantu," katanya seperti dipetik.

Sementara itu, Free Malaysia Today melaporkan SPRM mengikuti perkembagan siasatan di Jerman dan Switzerland dan telah meminta maklumat daripada pihak berkuasa Jerman mengenai dana bon 1MDB yang digunakan untuk membeli kereta mewah di negara itu pada 2022.

“Dalam perkembangan terbaru ini, SPRM telah menghantar permohonan untuk maklumat terkini daripada pihak Jerman,” kata ketua pesuruhjayanya Azam Baki seperti dipetik.

Azam turut berkata SPRM memulakan siasatan berkenaan perkara itu sejak 2020 dan pihaknya bertemu dengan pihak berkuasa Switzerland setahun kemudian berhubung sejumlah 50 buah kereta mewah yang berkaitan dengan skandal 1MDB.

Pada Khamis laku, akhbar berpangkalan di Berlin, Bild melaporkan pasukan polis Jerman menyerbu sebuah kemudahan simpanan persendirian bawah tanah di utara Munich dan merampas empat buah kereta itu, yang dianggarkan bernilai beberapa juta euro.

Model Bugatti yang dirampas adalah Rembrandt Veyron, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini.

Menurut akhbar itu lagi, Ibu Pejabat Polis Munich dan Pejabat Pendakwa Persekutuan di Bern, Switzerland enggan memberikan sebarang maklumat berkenaan kes itu.

Namun, akhbar itu memetik sumber kehakiman yang mendedahkan rampasan itu berkaitan dengan siasatan terhadap 1MDB yang lebih meluas.

SPRM telah bekerjasama dengan pihak berkuasa pelbagai negara sejak tahun lalu dan telah mendapatkan semula aset yang dibeli dengan dana 1MDB, serta memulangkan lebih RM20 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Lihat Komen
ADS