Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KFC kecilkan operasi untuk tangani peningkatan kos perniagaan - QSR
Diterbitkan:  Apr 29, 2024 10:17 PM
Dikemaskini: 2:17 PM

Pengurusan KFC Malaysia mengesahkan pengecilan operasinya dengan langkah-langkah yang diambil untuk menutup sementara cawangan terpilih.

QSR Brands dalam satu kenyataan berkata penutupan itu adalah sebahagian daripada usaha menguruskan peningkatan kos perniagaan dan memberi tumpuan kepada perdagangan dengan penglibatan tinggi.

“Pekerja dari kedai yang terjejas ditawarkan peluang untuk berpindah ke kedai yang masih beroperasi sebagai sebahagian daripada strategi taktikal untuk mengoptimumkan sumber dalam zon perdagangan dengan penglibatan pelanggan yang lebih tinggi,” kata syarikat itu.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang angka selain sumbangan QSR Brand kepada ekonomi melalui jaminan pekerjaan untuk 18,000 ahli pasukan di Malaysia, dengan kira-kira 85 peratus adalah Muslim.

“QSR Brands terus menjadi antara pembayar cukai terbesar di Malaysia dan berbangga kerana dapat memberi kembali kepada masyarakat melalui KFC Add Hope dan Dana Zakat Wakalah.

“Kami amat percaya rakyat akan mengiktiraf latar belakang Malaysia kami, keikhlasan kami dan kerja keras kami dalam menyumbang kepada ekosistem Malaysia,” kata syarikat itu.

Awal hari ini, Singapore Straits Times memetik laporan akhbar harian berbahasa Cina Nanyang Siang Pau yang mendakwa 108 kedai KFC telah ditutup buat sementara waktu, berdasarkan data Peta Google.

Singapore Straits Times juga memetik sumber tanpa nama daripada QSR yang mengaitkan penutupan itu berpunca daripada kesan boikot awam, dan ia boleh dilihat sebagai peluang untuk menghentikan beberapa operasi kedai KFC.

Terdapat lebih 600 restoran KFC di Malaysia, dikendalikan oleh QSR yang kini dimiliki oleh Johor Corporation - syarikat milik kerajaan negeri Johor.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS