Paling Popular
Terkini
mk-logo
Pengumuman
Bank Rakyat rekod keuntungan RM1.9 bilion, agihan dividen 18% kepada anggota
Diterbitkan:  Apr 17, 2026 12:51 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Bank Rakyat merekodkan keuntungan sebelum cukai dan zakat sebanyak RM1.9 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025), peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 4.2% atau RM75.8 juta, berbanding RM1.8 bilion pada tahun sebelumnya.

Keuntungan sebelum cukai dan zakat yang lebih tinggi ini dicapai melalui asas kukuh Kumpulan serta tumpuan terhadap aktiviti teras, disokong oleh keadaan ekonomi domestik yang bertambah baik, sementara Kumpulan kekal berwaspada dalam menghadapi prospek ekonomi global yang tidak menentu dan persekitaran perbankan yang mencabar.

Prestasi memberangsangkan ini dipacu oleh pertumbuhan kukuh jumlah aset, meningkat sebanyak 6.6% kepada RM131.0 bilion, didorong oleh tawaran menarik dalam segmen pembiayaan runcit, penekanan lebih kukuh kepada pendapatan bukan berasaskan dana, pendigitalan yang dipercepat untuk menembusi pasaran golongan berpendapatan sederhana tinggi serta peningkatan kualiti aset secara keseluruhan.

Pendapatan utama Kumpulan meningkat sebanyak 2.0% kepada RM6.8 bilion didorong oleh pertumbuhan kukuh baki pembiayaan kasar sebanyak 8.6% kepada RM93.3 bilion, melebihi purata industri. Dengan kejayaan pelaksanaan BR25, Kumpulan telah merealisasikan sepenuhnya manfaat daripada kepelbagaian portfolionya, khususnya dalam segmen perbankan perniagaan serta segmen pembiayaan bercagar seperti Pembiayaan Perumahan-i, Pembiayaan Kenderaan-i dan Pajak Gadai-i.

Tambahan lagi, strategi deposit Kumpulan dan usaha yang bersasarkan deposit kos rendah telah menyumbang kepada peningkatan Akaun Semasa-i, Akaun Simpanan-i dan Akaun Pelaburan-i (CASAIA) sebanyak 15.2% kepada RM12.4 bilion, mengukuhkan Nisbah CASAIA sebanyak 129 mata asas kepada 14.4%. Prestasi Kumpulan yang mampan ini turut disokong oleh peningkatan pendapatan operasi lain sebanyak 30.8% atau RM221.0 juta kepada RM938.4 juta mencerminkan usaha berterusan Kumpulan dalam mempelbagaikan sumber pendapatan.

Tambahan lagi, Kumpulan turut mengamalkan budaya pengurusan risiko yang berhemat dan proses penilaian kredit yang ketat yang membawa kepada penurunan nisbah pembiayaan terjejas kasar daripada 1.9% kepada 1.8%. Kumpulan juga mempamerkan disiplin dan kecekapan dalam pengurusan kos, yang boleh dilihat dalam nisbah kos kepada pendapatan yang kekal sihat sebanyak 47.8%. Kedudukan modal Kumpulan kekal mampan dengan Nisbah Modal Berwajaran Risiko dan Nisbah Modal Teras masing-masing kekal kukuh pada 25.6% dan 24.2%, melebihi keperluan minimum kawal selia.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Steven Sim Chee Keong, mengumumkan pembayaran dividen Bank Rakyat bagi TK2025 sebanyak 18% dengan jumlah pembayaran sebanyak RM534.7 juta, yang tertinggi sejak tempoh 10 tahun yang lepas. “Prestasi kewangan yang memberangsangkan ini membolehkan Bank Rakyat mengoptimumkan modal dan mengekalkan pembayaran dividen yang tinggi sebagai penghargaan kepada semua anggota dan pihak berkepentingan Bank Rakyat untuk sokongan berterusan mereka,” tambah beliau. Pembayaran dividen kepada anggota akan dilakukan mulai 16 April 2026 dan akan memanfaatkan sejumlah 783,324 anggota.

Beliau berkata Kumpulan Bank Rakyat meneruskan sokongan terhadap mandat tahunan untuk ekosistem koperasi dengan menyumbang sebanyak 2% daripada keuntungan sebelum cukai dan zakat berjumlah RM38.0 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pendidikan Koperasi dan 1% bersamaan RM19.0 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Koperasi. Jumlah sumbangan bagi tahun 2025 adalah sebanyak RM57.0 juta berbanding RM54.7 juta pada tahun sebelumnya.

Tinjauan Prestasi

BR25, Pelan Strategik Lima Tahun bagi 2021 - 2025, telah berjaya dilaksanakan, mencatatkan prestasi yang bermakna dalam memajukan pembangunan sosioekonomi serta membina asas yang kukuh bagi pertumbuhan masa hadapan yang mampan. Dalam persekitaran ekonomi yang mencabar, Bank Rakyat kekal teguh dalam peranannya sebagai bank koperasi Islam, dengan mencipta nilai kepada anggota, memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi, serta menyumbang kepada masyarakat secara lebih meluas.

Melangkah Ke Hadapan: Menuju 2030

Berdasarkan asas yang kukuh ini, Pelan Strategik Lima Tahun 2026 - 2030 yang dikenali sebagai LEAD30 merangkumi Lean, Expansionary, Agile dan Dynamic, telah dibangunkan bagi memacu aspirasi strategik Bank Rakyat serta impak jangka panjang.

Di bawah LEAD30, Bank Rakyat menyasarkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif sehingga tahun 2030 melalui pemacuan pengembangan aset pembiayaan serta pengukuhan kedudukannya dalam kalangan bank Islam terkemuka di Malaysia. Strategi ini memberi tumpuan kepada peningkatan keuntungan, pertumbuhan pendapatan berasaskan fi, serta mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dalam segmen utama seperti Pembiayaan Peribadi-i dan Ar-Rahnu.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat berhasrat untuk menjadi bank Islam pilihan berdasarkan advokasi pelanggan, di samping memperkukuh agenda kelestarian melalui pengurangan pelepasan karbon operasi. Dengan memanfaatkan keupayaan digital yang diperkukuh, Bank Rakyat juga akan mempercepatkan pertumbuhan jualan dan interaksi pelanggan, sekali gus memperkukuh nilai jangka masa panjang.

Dalam usaha mencapai aspirasi strategik ini, LEAD30 berteraskan bidang fokus strategik, inisiatif berimpak tinggi serta inisiatif perniagaan taktikal yang secara kolektif akan memandu keutamaan strategik Bank bagi tempoh 2026 - 2030.


Kandungan ini disediakan oleh Bank Rakyat

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pandangan penulis/penyumbang dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Berminat untuk mendapatkan kenyataan akhbar, wawancara eksklusif atau artikel kandungan berjenama anda di Malaysiakini? Untuk maklumat lanjut, hubungi [email protected] atau [email protected]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS