Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya selalu menerangkan bahawa isu Palestin ini bukan isu agama. Isu kota Jerusalem atau Baitulmuqadis ini juga bukan isu agama. 

Sah tepat dan betul - betul dan benar lagi saheh bahawa kota Baitulmaqdis ini adalah kota suci untuk penganut Islam. Dalam kota ini terdirinya Masjid Al-Aqsa dan arah kiblat bersembahyang pertama untuk penganut Islam sebelum diubah ke Mekah. 

Wajib diketahui bahawa kota ini juga adalah kota suci untuk penganut Judaisme. Dalam kota ini masih terdiri sebahagian dari Tembok Menangis - The Wailing Wall -  yang didirikan oleh Raja Herod. Ini adalah tembok Sinagog Kedua yang didirikan sebelum kelahiran Nabi Isa.

Untuk penganut agama Kristian pula Baitulmaqdis ini adalah wilayah kelahiran agama Kristian, tempat Nabi Isa mula menyebarkan agama Kristian. Di kota ini juga Nabi Isa disalib dan naik ke langit. Dalam kota ini didirikan Gereja Pertama untuk agama Kristian.

Hakikatnya kota Baitulmaqdis atau Jerusalem ini adalah kota kuno yang dianggap suci oleh tiga penganut agama - Yahudi , Kristian  dan Islam. Tiga agama besar tersebut lahir di kota ini.

Kalau kota Baitulmaqdis ini dianggap suci kenapa isu Palestin dan Jurusalem ini tidak dianggap isu agama?

Untuk memahami ini saya wajib memberikan latar untuk kita sesama memahami bagaimana Israel dilahirkan. Dan apa dan siapa di belakang Israel ini.

Saya paling suka menerangkan perjuangan Palestin ini kerana pada hemat saya kes Palestin/Arab ini amat-amat senang untuk difahami. Ini kerana sejarah Palestin/Arab ini tidak jauh bezanya dengan sejarah Tanah Melayu dan dunia alam Melayu. 

Kita tidak memerlukan satu kajian halus untuk memahami bagaimana sejarah Tanah Melayu berkait rapat dengan sejarah Palestin. Saya akan terang sejelas mungkin. Sabar dahulu. Amin.

Sampai ke Pulau Pinang

Wilayah Palestin sebelum 1948 adalah sebahagian dari dunia Arab. Betul dan benar di Palestin sebelum 1948 telah ada penganut Yahudi dan warga Kristian yang menjadi penduduk tetap. Mereka ini adalah penduduk asal Palestin. 

Masuk akal dan munasabah jika ada penganut dua agama ini di Palestin. Kerana di sini lahirnya ke dua-dua agama ini. Tetapi majoriti warga Palestin sebelum 1948 adalah Arab. Ini fakta sejarah. Bukan kelentong dan putar alam.

Apa yang berlaku ialah ada satu kumpulan Yahudi yang mahu mendirikan negara. Niat dan cita-cita kumpulan ini telah lama terpendam. 

Harus diakui daripada fakta dan babak sejarah bahawa Yahudi sebelum 1948 tidak memiliki negara. Kaum Yahudi hidup terpencar-pencar di dunia Arab dan Eropah. Ada yang sampai ke Pulau Pinang dan Singapura.

Orang Yahudi yang berniat untuk mendirikan negara mereka ini telah berkumpul di bawah payung satu gerakan yang diberi nama World Zionist Organisation - wujud seawal 1897. Berpusat di Basel, Switzerland. 

Gerakan ini membawa fahaman Zionisme. Zionisme ini adalah satu ideologi yang menganggap hanya penganut  agama dan bangsa Yahudi sahaja yang dipilih oleh Tuhan. Agama lain adalah ajaran sesat. Agama dan bangsa lain adalah salah dan dilaknati Tuhan.

Ertinya hanya mereka yang beragama Yahudi sahaja yang akan masuk syurga. Bangsa dan kaum mereka telah dipilih oleh Tuhan. Intipati ideologi ini menafikan agama lain dan bangsa-banga lain. Hanya penganut agama Yahudi yang telah dipilih oleh Ya Rabbi atau oleh Yahweh.

Pada pandangan saya kes Palestin/Israel ini sekali lagi membuktikan dengan jelas peranan putar alam dan kelentong pandangan agama. Dalam konteks gerakan Zionis amat jelas agama ini dimainkan sebagai propaganda untuk mengolah persetujuan. Agama digunakan untuk meraih simpati mereka yang menganut agama Judaisme.

Hakikatnya dibelakang agama ini ialah kaum permodal. Di belakang  World Zionist Organisation (WZO) ialah pemodal kaum kapitalis.

Pada awalnya kaum pemodal yang menjuarai WZO ini terdiri daripada kaum Yahudi sahaja. Semua ini telah lama berubah. Hari ini dengan wujudnya globalisasi, maka gerakan Zionis telah meresap dan masuk ke dalam banyak jaringan syarikat global termasuk McDonald. 

Awas dan waspada pemimpin gerakan Zionis hari ini masih lagi dikepalai oleh Yahudi. Dana induk masih lagi dari kaum pemodal Yahudi.

Dari fakta sejarah - kaum pemodal Yahudi pada tahun 1917 - telah berjaya meluluskan apa yang dikenali sebagai Deklarasi Balfour. Deklarasi ini telah menunjukkan bahawa negara bangsa Yahudi akan diwujudkan di Palestin. Ketika ini, dunia dikuasai oleh kuasa imperialis Great Britain. Deklarasi ini adalah janji Setiausaha Luar Negara Britain Lord Balfour kepada Lord Rothschild - seorang Zionis. 

Di sini bukti amat jelas bahawa Israel tidak ada sangkut-paut dengan agama Yahudi. Agama hanya digunakan sebagai alat untuk mengolah persetujuan. Justeru sila tanya Lebai Google siapa dia Lord Rothschild ini.

Projek rampas tanah

Kuasa imperial Britain akan mewujudkan Israel di bumi Arab kerana pada ketika itu negara Arab termasuk Palestin adalah tanah jajahan Britain.

Untuk saya pemilihan Palestin ini adalah bukti bahawa agenda agama ini hanya agenda putar alam. Saya berani berkata sedemikian kerana sebelum Palestin dipilih ada lagi wilayah-wilayah lain yang dicadangkan untuk dijadikan wilayah penempatan Yahudi. 

Pada tahun 1918 - Rusia mencadangkan bahagian Timur Sungai Amur wilayah Birobidzgha dijadikan penempatan Yahudi di Rusia. Pada 1903 kerajaan  British telah juga mencadangkan Uganda sebagai wilayah penempatan Yahudi. Ini kerana Uganda adalah tanah jajahan British.

Awal lagi - pada tahun 1820 seorang Zionis bernama Modecai Manuel Noah telah mencadangan Grand Island di Sungai Niagara sebagai tempat Yahudi. Pada tahun 1939 British Guyana di Amerika Latin juga dicadangkan. Madagascar juga pernah dicadangkan.

Semua tempat-tempat yang dipilih adalah tanah jajahan British kecuali di Rusia. Dan rata-rata wilayah ini tidak ada sangkut paut dengan agama atau budaya Yahudi atau budaya dunia Timur Tengah.

Dari wilayah-wilayah yang dicadangkan sebelum Palestin dipilih - amat jelas projek Israel ini adalah projek merampas tanah. Atau lebih tepat lagi projek penjajahan.

Zionis yang mendirikan Israel pada tahun 1948 di Palestin bertujuan untuk menjajah bumi Arab. Ini jelas. Wailing Wall atau Tembok Suci Yahudi hanya alat untuk menghalalkan penjajahan bumi Arab oleh Zionis.

Kes Israel adalah kes tanah. Persoalan Palestin adalah persoalan tanah dan bumi Palestin yang dijajah. Jangan silap faham perjuangan rakyat Palestin adalah untuk menuntut dan membebaskan tanah air mereka yang terus dijajah oleh Zionis Israel. Amin

Putar alam Pak Arab

Awas dan sedar negara yang teguh menyokong dan membantu gerakan pembebasan Palestin pada satu ketika dahulu ialah Blok Sosialis - Rusia, Romania, Bulgaria, Czechoslovakia, Poland, Hungary dan China.  Apabila blok ini tidak wujud lagi maka kita lihat bagaimana rakyat Palestin semakin diinjak-injak oleh Zionis Israel.

Hari ini negara yang paling setia dan masih menyokong pejuangan rakyat Palestin ialah Cuba dan Venezuela.  Dua negara ini tidak ada sangkut paut dengan Islam. Malah ramai pemimpin dan rakyat negara ini tidak percaya kepada mitos agama.

Manakala negara-negara Arab kebanyakan bersuara lantang - seperti Tok Arab menjual Makjun dan Minyak Attar - tapi hampeh kesemuanya. 

Bukan sahaja negara-negara Arab ini tidak membantu malah mereka bersubahat dengan Zionis untuk terus memukul rakyat Palestin. Negara-negara Arab ini juga amat licik dalam hal pembelotan mereka. Dengan menggunakan ketayap, serban, hadis Nabi dan ayat suci pemimpim negara Arab ini telah belot dan bersekongkol dengan Zionis.

Negara-negara Arab ini terutama Arab Saudi melaungkan bendera Islam sebagai garis perjuangan Palestin. Negara-negara seperti Pakistan, Bangladesh dan kita di Malaysia juga terikut-ikut dengan agenda Arab Saudi.

Saudi melaungkan Islam maka kita sama-sama menjerit melaungkan Islam. Banyak negara dan orang ramai terikut-ikut dengan rentak dan gendang Saudi kerana Saudi Arabia memiliki kuasa minyak dan dinar.

Walhal, hakikatnya perjuangan Palestin ini adalah perjuangan merampas kembali  tanah air mereka yang telah dirampas dan dijajah oleh Zionis.

Jangan lupa, jangan tidak sedar dan jangan buat-buat  tidak tahu  bahawa di Palestin sekarang ini ada di antara 10 ke 15 peratus rakyat Palestin yang beragama Kristian. Mereka ini Arab Kristian.  

Jangan salah baca jurucakap Palestin Liberation Organisation Hanan Asrawi itu seorang wanita Kristian. George Habash pemimpin Popular Front for The Liberation of Palestine ialah seorang Kristian. Intelektual Arab  Palestin yang tersohor Edward Said ialah seorang Kristian. Justeru Palestin bukan agenda agama. Tapi agenda perjuangan melawan penjajahan Zionis Israel.

Wajib juga saya nyatakan di sini bahawa di Palestin juga ada Yahudi yang menentang projek Zionis Isreal yang  menjajah Palestin. Mereka ini warga asal Palestin. Gerakan Yahudi anti-Zionis Isreal berkumpul dan berkempen di bawah organisasi bernama Neturei Karta.

Malah NGO dan parti-parti politik di Amerika Syarikat, Amerika Latin dan di Eropah menyokong perjuangan Palestin bukan kerana agama Islam. Mereka bangun menyokong kerana mereka sedar bahawa projek Israel ialah projek penjajahan - projek Zionis merembat tanah Arab. 

Zionis luar sedar

Apa yang saya tulis ini membuktikan bahawa perjuangan rakyat Palestin itu bukan perjuangan agama. Bukan untuk tunjuk agama siapa yang betul dan agama siapa yang salah.

Projek agama siapa yang betul dan agama siapa yang salah adalah fahaman Zionis. Awas dan waspada. Zionisme hari ini bukan lagi dianuti oleh Yahudi sahaja. Malah sesiapa saja yang percaya bahawa agama mereka sahaja yang betul bermakna mereka  berkiblat ke fahaman  Zionis. Atau lebih tepat lagi menghayati Zionisme tanpa sedar.

Justeru pada 10 November 1975 Persidangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah menerima dan meluluskan Resolusi 3379. Resolusi ini menganggap Zionisme  satu bentuk faham rasis dan fahaman  yang menggalakkan penindasan. Resolusi 3379  ini disokong oleh 72 negara , 35 menolak  dan 32 berkecuali. 

Bagaimana pula hubungan antara Tanah Melayu dengan Palestin dan Bumi Arab. Betul ke ada hubungan yang amat amat rapat? Bani Arab Palestin dan Bani Melayu di Tanah Melayu memiliki sejarah yang sama? Sama bagaimana? Tunggu minggu hadapan. 

Lihat Komen
ADS