Kolum Malaysiakini

Menjauhi akal badi Melayu

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seperti yang telah dijelaskan olehku dalam tulisan kolum sebelum ini mengenai akal budi dan badi Melayu, pelajarku bertanya lanjut perihal apakah sebenarnya akal badi Melayu, dan apa pula contoh-contohnya.

Akal badi Melayu adalah perbuatan mengakal atau berhelah dan bertipu muslihat yang mana tidak berperangai baik dan tidak berfikir dengan akal sehingga mendapat ‘kesan buruk’ lantaran melanggar kebenaran dan kemuliaan budi dan akal. Jika akal budi Melayu dengan modus operandi yang dihujahkan sebagai akulturasi, adaptasi, dan akomodasi adalah ikhtiar yang baik demi untuk mencapai kesejahteraan masyarakat, akal badi Melayu pula adalah ikhtiar yang buruk dan merupakan tipu daya. Ini bermakna akal budi Melayu adalah perihal kecerdikan Melayu sementara akal badi Melayu adalah perihal tidak semenggahnya Melayu.

Amalan buruk dan tidak senonoh di bawah akal badi Melayu ini juga amat banyak. Akal badi ini dikenal dalam simpulan bahasa Melayu antara lain sebagai akal bulus, akal kancil atau akal ubi yang semuanya membawa pengertian tipu muslihat yang licin; sementara akal geladak adalah untuk menggambarkan tipu muslihat yang jahat. Terdapat pula peribahasa ‘lubuk akal tepian ilmu’ yang merujuk kepada akal atau muslihat orang yang pandai berpura-pura, atau dibuat-buat. Dalam hal ini, akal badi Melayu adalah juga kepandaian, tetapi ‘kepandaian yang salah’ dan membawa kepada bencana, dan kerosakan terhadap diri, orang lain atau masyarakat terbanyak.


Baca: Akal budi & badi Melayu


Salah satu ‘kepandaian yang salah’ ini adalah sihir-menyihir. Sihir diberi pengertian sebagai ilmu ghaib yang dapat menyakiti atau dapat mempesona orang. Salah satu sihir Melayu yang terkenal adalah ‘jampi pengasih’. Salah seorang Melayu yang pandai mengakal, dalam hal ini ia adalah akal badi Melayu, tidak lain tidak bukan adalah Laksamana Hang Tuah. Dalam Hikayat Hang Tuah dinyatakan bagaimana pembesar Melaka ini memperdayakan anak perempuan pembesar negeri Inderapura, Bendahara Seri Buana iaitu Tun Teja Ratna Menggala dengan sihir minyak pengasih. Tujuan Hang Tuah menyihir Tun Teja ialah agar dapat dipersembahkan kepada Raja Melaka, yang sedang murka kepadanya. Harapan Hang Tuah, persembahan perempuan yang memang diberahikan oleh Raja tersebut akan segera membuatkan dirinya diampunkan:

[Berapa puluh hari maka Laksamana pun fikir dalam hatinya, “Di mana baik aku duduk? Ada pun jika demikian baik aku bersuaka pada Bendahara Seri Buana, kerana Duli Yang Dipertuan dahulu sangat berahi akan anak Bendahara Seri Buana ini yang bernama Tun Teja Ratna Menggala. Maka malah keturunan gila Yang Dipertuan akan Tun Teja ini. Jika demikian baiklah Tun Teja ini kuperdayakan, kubawa ke Melaka, kupersembahkan kebawah Duli Yang Dipertuan supaya aku segera ditegurnya.”]

[Maka Laksamana pun fikir di dalam hatinya, “Ada pun akan aku ini dimurkai oleh Duli Yang Dipertuan Melaka. Jika demikian baiklah aku mencari suatu kebaktian supaya aku boleh kembali ke Melaka karena Duli Yang Dipertuan Melaka dahulunya terlalu amat berahi akan Tun Teja itu malah keturunan gila. Jika demikian baiklah Tun Teja ini kuperdayakan, kubawa pulang ke Melaka, kupersembahkan pada baginda itu supaya aku beroleh kembali ke Melaka.” Setelah sudah ia fikir demikian maka Tun Tuah mencari daya upaya hendak berdapat dengan Tun Teja itu.]

Perbuatan jahat

Sudah tentu perbuatan mengampu dengan memperdayakan seorang perempuan, diculik dan dipersembahkan kepada Raja Melaka itu adalah satu perbuatan jahat bawah akal badi Melayu. Bukan itu saja, sikap Hang Tuah yang menjengkelkan ini awalnya adalah untuk mendapatkan perlindungan atau suaka di bawah bapa Tun Teja telah disalahgunakan iaitu dengan niat terselindung untuk memperdayakan anaknya. Dalam Hikayat Hang Tuah diceritakan bagaimana Bendahara Seri Buana Inderapura sangat berasa cemas oleh kehilangan anak daranya dan menangis ‘seperti buah bemban masak’ matanya.

Perbuatan sihir terhadap Tun Teja tersebut berpanjangan yang mana apabila mereka tiba di Melaka, Hang Tuah membuatkan ‘doa pembenci’ yang ditiupkan ‘ke dalam kurung’ (baju Tun Teja). ‘Kehebatan’ sihir Hang Tuah mengakibatkan Tun Teja serta merta membencikan Hang Tuah, ‘maka Tun Teja pun bencilah hatinya akan Tun Tuah itu. Jangankan melihat rupanya, mendengar suaranya pun Tun Teja benci serta menutupkan telinganya.’

Lebih memalukan ialah masyarakat Melaka pada waktu itu tidak membantah perbuatan badi tersebut sehingga kehadiran perarakan Tun Teja itu menarik minat orang Melaka yang mana mereka datang melihatnya tanpa rasa segan silu apatah lagi dengan akal budi;

[‘Maka segala orang Melaka pun ramai melihat berlarian pergi hendak melihat Tun Teja disambut itu. Maka terbanyak pula segala yang berkedai ditinggalkan kedainya dan segala yang berjual ditinggalkan jualannya dan segala yang berlaki ditinggalkan lakinya dan segala yang beranak ditinggalkan anaknya. Ada yang tiada sempat berkain, sambil memakai baju berjalan. Ada yang terdada-dada berlari-lari dan susunya yang kopek itu pun tergentil-gentil datang dengan lelahnya serta tercengang-cengang. Maka Dang Puasa pun baharu hendak tidur dengan lakinya berlari-lari pergi melihat, baharu sampai tengah jalan maka bertemu dengan kendaknya. Maka ia pun singgah dipegang oleh kendaknya lalu berkelahi, terlalu ramai bertarik-tarik kainnya’.]

Jangan dinafikan inilah gambaran Melaka yang kononnya seisi negeri sudah memeluk Islam dari pemerintah hinggalah rakyatnya. Sungguh melongokan gambaran orang Melayu gempar melihat perarakan tiba Tun Teja sehingga berlaku ‘wardrobe malfunction’ iaitu terleleh tetek atau mereka yang sedang bersetubuh di tengah hari kelam kabut meninggalkan ranjang sehingga terlondeh sana sini.

Dahsyatnya akal badi Melayu yang dimiliki Hang Tuah, bukan sahaja ia menyihir dua kali puteri Inderapura, menculiknya, juga mengampu pemerintah tanpa rasa iman, Tun Tuah malah mempertahankan tindakan badinya itu sehingga bertarung dengan tunang Tun Teja, Megat Panji Alam dan sebaik mendengar rungutan Raja Melaka, segera Tun Tuah berniat untuk ‘memenggal kepala Megat Panji Alam’. Seperti dinyatakan dalam Hikayat Hang Tuah, Megat Panji Alam terkorban di tangan Hang Jebat dan Hang Kasturi secara amat tragis.

Adalah menghairankan perihal akal badi Melayu yang dimiliki Hang Tuah ini disambut dengan penuh puja dan puji oleh segelintir Melayu. Ada kemungkinan kumpulan Melayu ini keliru antara akal budi Melayu dengan akal badi Melayu lantas tersihir dan tidak nampak rasio. Sebagai contoh dalam tahun 2015, Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdul Rahman Mat Dali menyatakan ‘Hang Tuah adalah simbol kehebatan dan ketangkasan peribadi Melayu, simbol pencapaian tamadun bangsa dan sejarah kerajaan Melayu Islam’ (lihat laporan Siti Fatimah Ishak. 2015. Hang Tuah wujud, orang Melayu jangan sangsi lagi. Portal Islam dan Melayu ISMAWeb. 5 Disember.)

Sihir Melayu

Kita perlu memahami budaya sihir Melayu seperti ilmu pengasih adalah amalan yang salah. Maka pengamalnya, seperti Hang Tuah tidak wajar dirujuk sebagai ‘simbol kehebatan dan ketangkasan peribadi Melayu’. Sihir adalah ‘kreativiti’ yang batil, membawa kesan buruk, mendatangkan fitnah dan hanya menjejaskan keluhuran dan kesusilaan orang Melayu seperti yang terpancar pada Akal Budi Melayu.

Apa yang mengakibatkan kekeliruan, serta gagal mendatangkan kebaikan secara menyeluruh, maka ia dinamakan akal badi Melayu. Jelaslah akal badi Melayu adalah juga kepandaian, tetapi ‘kepandaian yang salah’ seperti sihir, yang membawa kepada bencana, dan kerosakan terhadap diri, orang lain atau masyarakat terbanyak tidak dapat dihujahkan hebat, atau tangkas, dan sama sekali bukan ‘simbol pencapaian tamadun bangsa dan sejarah kerajaan Melayu Islam’ sebaliknya adalah ‘simbol kerosakan’ dan pemuja akal badi Melayu adalah ‘simbol kekeliruan’.

Adalah perlu untuk ahli masyarakat membezakan amalan terbaik orang Melayu yang dinamakan akal budi dengan amalan buruk yang mesti dijauhi dan ditinggalkan iaitu akal badi.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.