Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Rakyat Amerika Syarikat akan memilih siapa yang akan menjadi penghuni Rumah Putih dalam masa tak sampai dua minggu lagi. Selasa 3 November 2020 akan datang lebih dari 300 juta warga Amerika akan keluar mengundi.

Ketika tulisan ini diketik lebih dari 30 juta warga Amerika telah menjalankan undi awal minggu lalu. Di Amerika undi awal dibenarkan dengan sebab musabab yang munasabah di 33 wilayah. Undi awal dan pos juga dilakukan oleh warga Amerika yang berada diluar negara. Pada tahun 2016, sebanyak 36.6 peratus adalah pengundi awal.

Kali ini undi awal mungkin bertambah. Mengundi pada Selasa 3 November mungkin akan kurang. Ramai pengundi mungkin enggan untuk beratur panjang risau jangkitan Covid. Justeru mengundi awal atau melalui pos menjadi pilihan.

Donald Trump, presiden ke 45 Amerika sedang diduga - apakah sosok 74 tahun ini boleh bertahan di Rumah Putih. Berjayakah Joe Biden, 77 tahun , naib presiden kepada Obama naik taraf setakuk untuk menjadi presiden ke 46. Semua ditentukan dalam masa dua minggu ini.

Saya telah menulis tentang siapa penyokong Trump yang sanggup mengangkat senjata untuk memastikan Trump terus tinggal di Rumah Putih. Kali ini saya hendak membuktikan bahawa Biden juga mempunyai penyokong yang juga sanggup mengangkat senjata untuk memastikan Trump keluar dari Rumah Putih.

Donald Trump

Biden dari Parti Demokrat, seperti Hillary Clinton, disokong oleh media arus perdana. Tuan-tuan pemilik media dan juga para wartawan yang dikenali sebagai “presstitute” menyokong Biden. Satu kumpulan elit politik dan elit ekonomi Amerika juga memberi sokongan kuat. Warga Amerika yang berfahaman sekular, liberal dan demokrat adalah pengundi setia parti Biden – parti Demokrat. Mereka merasa selama empat tahun ini keselesaan hidup mereka terganggu.

Ada kumpulan kaum kapitalis multinasioal terganggu dalam projek membuat kekayaan. Bukan kerana Trump membawa garis kiri ala garis sosialis Bernie Senders. Jauh sekali. Trump menuduh kapitalis jenis mereka tidak patriotik kerana menjual kepentingan Amerika kepada China Merah. Atau membuka kilang dan melabur diluar negara.

Media liberal arus perdana diserang oleh Trump secara terbuka. Media ini dituduh berbohong kepada rakyat. Secara terbuka Trump menuduh saluran TV berita CNN (Cables News Network ) sebagai suara bohong. Lembaga daulah saperti CIA – (Agensi Perisikan Pusat) dan FBI (Biro Siasatan Persekutuan) tidak terlepas dari serangan Trump. Selama ini lembaga-lembaga ini hidup nyaman ‘selesa’ membuat porak-peranda di dalam dan di luar Amerika kerana tidak ada presiden yang berani berkata benar atau mengkritik, terutama terhadap FBI atau CIA.

Jika ada presiden yang berani bersuara seperti JF Kennedy, maka sosok itu akan ‘dijimatkan’. Saya memungut perkataan “jimat” dari akuan bersumpah Azilah ketika mendakwa menerima arahan untuk menembak Altantuya.

Rancangan ‘jimatkan’ Trump

Memang ada rancangan untuk “menjimatkan” Trump. Melalui mahkamah. Melalui media. Melalui skandal seks. Mahkamah gagal. Serangan media menjadi basi. Skandal seks Trumps yang diheboh-hebohkan kelihatan tidak ke mana-mana. Kelihatan Trump agak kebal.

Kaum intelektual, ahli akedemia dan para budayawan melihat Trump sebagai badut yang memperkecilkan fikrah mereka. Mereka yang selama ini bangga dengan keintelektualan diri kini diperlekeh oleh Trump. Mereka ketawa dilawakkan oleh Trump untuk dilihat lebih kangkung dari profesor kangkung.

Awas dan waspada Biden juga memiliki penyokong dari massa rakyat. Mereka juga bersedia mengangkat senjata untuk memastikan Trump keluar dari Rumah Putih. Massa rakyat ini terdiri dari dua kumpulan.

Pertama, kumpulan kulit hitam yang kini sedang turun ke jalan raya berdemo membantah keganasan polis. Kumpulan kulit hitam ini sedang berkumpul bawah payung Black Lives Matter (BLM).

Kedua, Antifa - kumpulan membawa garis kiri yang radikal. Nama Antifa ini adalah singkatan dari antifaschistische aktion (1932–1933), berasal dari Jerman. Dari segi sejarah ini satu gerakan bawah tanah rakyat Jerman yang menentang fahaman Nazi Hitler.

Di Amerika, Antifa banyak dianggotai oleh anak muda berkulit putih yang menentang puak kanan – kaum fasis – fahaman rasis, fahaman anti-LGBT dan kumpulan extremis kanan rasis seperti Ku Klux Klan - ketuanan kulit putih. Antifa di Amerika ini bergerak secara bebas tidak memiliki struktur kepimpinan. Yang menyatukan anak anak muda ini ialah ideologi antigaris politik kanan dan antikapitalis.

Semenjak Trump berkuasa Antifa semakin aktif. Dalam masa yang sama Antifa telah dituduh oleh Trump sebagai salah satu kumpulan yang akan memusnahkan Amerika. Trump mahu Antifa disenaraikan sebagai kumpulan pengganas dalam negara sama seperti Al-Qeada – kumpulan pengganas dari luar. FBI tidak pula mengumumaan organisasi atau kumpulan apa yang telah disenaraikan.

Ideologi kiri anti-fasis Antifa ini membolehkan anak-anak muda berkulit putih ini menggalang united front (barisan bersatu) dengan kumpulan kulit hitam BLM.

Justeru kita lihat kerjasama BLM dan Antifa semakin melonjak sesudah kematian George Floyd – jantan hitam. George Floyd telah ditekan leher hingga tak bernafas oleh polis pada 25 Mei 2010 di Minneapolis. Isu George Floyd ini menjadi belereng yang membakar api kemarahan yang terpendam terhadap Trump.

Maka kita melihat semenjak bulan Mei yang lalu dari kota ke kota warga Amerika kulit hitam telah turun mengganas, merompak dan membakar gedung-gedung perniagaan.

Tunjuk perasaan antirasisme

Tunjuk perasaan antirasisme BLM ini merebak secara global. Demo genre BLM berjalan sampai United Kingdom, ke Paris, ke Berlin dan ke Melbourne.

Di mana ada demo BLM, majoriti yang turun menyokong adalah warga berkulit hitam. Dalam masa yang sama kita akan terlihat satu kumpulan anak muda berkulit putih berdemo sama. Mereka ini berkemungkinan dari Antifa. Malah bendera dan slogan Antifa dilihat jelas di setiap demo BLM.

Mengikut data akhbar Washington Post pada tahun 2016 – lebih 250 warga kulit hitam telah mati dibunuh polis. Statistik Washington Post terkini pada 20 Oktober 2020 menunjukkan seramai 1,003 warga Amerika, anak semua bangsa, telah mati ditembak polis.

Hakikatnya Amerika dalam ketegangan. Pertempuran kulit hitam dengan kulit putih sedang berjalan. Pertembungan ideologi antirasisme sedang menular. Gerakan kiri antikapitalisme semakin merebak.

Suasana tegang ini ditambah tegang oleh Covid-19. Ketika tulisan ini ditulis Jumaat 23 Oktober 2020 data Badan Kesihatan Bangsa Bersatu (WHO) menunjukkan seramai 8,184,788 warga Amerika telah diserang Cobid. Seramai 219,497 telah tewas. Angka masih belum kendur.

Joe Biden

Pandemik ini bukan sahaja membunuh warga Amerika malah sedang menghancurkan sistem ekonomi Amerika. Negara kapitalis terunggul terkuat terulung dalam dunia sedang nazak.

Data pada 14 Mei 2020 dari akhbar The Guardian London melaporkan 36 juta warga Amerika menganggur. Seramai 3 juta baru mendaftar untuk memohon bantuan kebajikan kerana hilang kerja.

Inilah suasana latar belakang politik dalaman Amerika ketika pemilihan presiden tahun 2020. Saya menggunakan konsep politik dalaman kerana belum mengambil kira suasana politik luaran - yang politik , ekonomi dan tentera Amerika terlibat secara langsung. Atau keterlibatan kuasa imperial Amerika secara tidak langsung.

Ketegangan Amerika dengan China Merah. Sikap Trump terhadap Iran. Sokongan teguh Trump terhadap Israel. Dasar luar seperti ini mungkin dilihat tidak menonjol untuk pengundi. Tetapi untuk kaum pemodal antarabangsa dasar luar Amerika amat penting.

Dasar luar ini akan menjemput sokongan atau penolakan kaum pemodal yang rukun imannya ialah keuntungan maksima.

Donald Trump sedang kuat berkempen melaungkan rukun iman baru untuk pengundi Amerika. Slogannya ialah - America first Make America great again - Dahulukan Amerika, Jadikan amerika jaguh sekali lagi.

Suhu politik hangat yang sedang membakar Amerika sedang menjemput perang saudara. Trump telah bersuara bahawa akan berlaku penipuan dalam undi pos. Malah Trump bila ditanya oleh media adakah dia akan ‘concede’ atau ‘mengaku kalah’ jika undi membuktikan Biden menang. Trump tidak mahu menjawab.

Pasukan peguam terbaik di AS

Parti Republikan dan Parti Demokrat kini sedang menyusun satu pasukan peguam yang terbaik di Amerika. Kedua dua parti politik sedang bersedia dengan hujah hukam-hakam dalam suasana politik yang tidak menentu.

Malah desas-desus kedengaran jika Biden menang dan Trump berdegil tidak mahu mengaku kalah maka soldadu Amerika akan datang ke Rumah Putih.

Jeng, jeng, jeng. Pada Selasa 20 Oktober 2020 yang lalu akhbar The Guardian London telah melaporkan seramai 110,000 warga Amerika di Carlifornia telah membeli senjata – pistol dan senapang. Seramai 47,000 adalah pembeli kali pertama.

Semenjak bulan Mac tahun ini mengikut statistik FBI seramai lima juta pembeli baru warga di Amerika telah membeli senjata.

Mengikut laporan The Guardian pemangkin kegilaan ini ialah suasana politik yang tidak menentu, ekonomi semakin punah dan pandemik Covid-19. Suasana ini sedang dialami bukan hanya di Amerika malah di United Kingdom, di Perancis, di Australia suasana sama sedang berlaku.

Selasa 3 November 2020 masih belum jelas. Ketika tulisan ini diketik Biden mengatasi Trump 17%. Pada tahun 2016 dahulu Hillary Clinton juga mengatasi Trump 16%. Tapi Trump menang. Bolehkan Trump melakukan ini sekali lagi.

Dalam politik Amerika ada October surprise – terperanjat Oktober. Apa dia yang memeranjatkan pengundi Amerika pada bulan Oktober ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS