Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya masih teringat lagi majlis perasmian pergabungan Parti Keadilan Nasional dengan Parti Rakyat Malaysia di Dewan Perhimpunan Cina pada 3 Ogos 2003.

Tiga hari sebelum majlis perasmian, kumpulan Teater Bukan Teater diminta memberikan persembahan yang mengintepretasi makna dan tanda pergabungan. Tiga hari? Iya, kami hanya diberi masa tiga hari sahaja.

keadilan prm merger Teater Bukan Teater tidak menolak. Kami membuat persembahan kerana kami dibayar dengan harga yang begitu mahal sekali - kami dibayar dengan api dan semangat perjuangan.

Saya juga masih teringat kongres pertama PKR pada Disember 2003 di sebuah tok pekong di Ipoh. Iya, di sebuah tok pekong, bukan di dewan hotel atau gedung mesyuarat yang mewah tetapi di sebuah kuil.

Pada Disember itu, saya telah memastikan diri saya ke Ipoh untuk bersama sejarah.

Ketika di pekan itu, saya dapat merasakan ombak dan semangat juang membakar terus. Apabila kongres pertama PKR berlangsung di rumah sembahyang Cina, maka implikasinya cukup mendalam.

Inilah tanda-tanda permulaan retaknya konsep Ketuanan Melayu. Ia juga tanda keberanian sebuah parti politik untuk memulakan politik baru – politik yang bukan berasaskan sokongan bangsa atau agama.

Di tok pekong ini jugalah Anwar Ibrahim untuk pertama kalinya berkemungkinan untuk turut hadir setelah bebas daripada penjara.

Saya ke kongres PKR bukan sebagai anggota parti. Saya ingin melihat siapa yang datang. Saya sebenarnya tidak mengenali ramai para pemimpin parti sama ada gedebe nasional maupun gedebe negeri dan bahagian.

Untuk saya, mereka ini tidak penting. Apa yang ingin saya lihat ialah muka dan rupa betuk rakyat yang hadir kongres.

Ada satu perkara yang wajib saya perhatikan. Saya hendak melihat apakah ramai anak muda yang turut sama merayakan kongres ini. Untuk saya ini adalah kunci.

Kekuatan satu satu gerakan. Gerakan apa sahaja, jika tidak ada anak muda yang meminatinya, pasti gerakan ini akan gagal. Dalam semua perjuangan merebut kuasa politik, tanpa anak muda, tidak mungkin ruyung dapat dipecahkan.

Sejarah dan pengalaman menjadi guru kita yang terbaik.

anwar ibrahim pkr congress 021208 05 Pagi Sabtu 29 Novemeber lalu, saya ke Shah Alam. Saya amat jarang meninggalkan bilik di hari Sabtu terutama waktu pagi. Pagi itu saya memaksa diri saya bukan untuk mendengar ceramah dan ucapan yang gah-gah dari para politkus.

Saya datang untuk mencari ambience dan suasana. Saya hendak melihat suasana PKR dan Pakatan Rakyat setelah berjaya menawan lima buah negeri.

Apabila saya melintasi pintu gerbang di sebelah Universiti Malaya dan meninggalkan Wilayah Persekutuan untuk memasuki Petaling Jaya, saya mula ternampak bendera, banting dan iklan kongres. Hebat.

Sepanjang Lebuh Raya Persekutuan hingga ke Stadium Malawati, Shah Alam, iklan-iklan terpasang di sepanjang jalan untuk menjemput sesiapa sahaja datang merayakan kongres nasional kelima PKR.

Selangor negeri terkaya bawah Pakatan Rakyat telah menjadi tuan rumah. Kerajaan Selangor menyediakan abang-abang berbaju hijau dari pasukan Rela untuk membantu keselamatan.

Pekerja Majlis Bandaraya Shah Alam yang berpakaian seragam siap sedia mengarahkan para tetamu. Saya jangka tidak mungkin ada sesiapa yang akan tersesat mencari tempat kongres walaupun pertama kali turun ke Shah Alam.

Persediaan kelihatan lumayan dan tersusun.

Nah... keadaan ini amat jauh sekali dengan apa yang berlaku di Ipoh. Lima tahun lalu, di Ipoh, polis trafik ditugaskan untuk menyaman sebanyak mungkin apa sahaja yang bergerak.

Malah ketika para perwakilan sedang bersidang, polis trafik datang untuk menyaman kereta yang terletak di pinggir-pinggir jalan.

Polis bersenjata pula tercacak di sana-sini bukan untuk mengawal tetapi hadir untuk memberi tekanan dan menakut-nakutkan orang ramai yang datang ke tok pekong tersebut. Di Shah Alam, semuanya berbeza.

Ketika saya masuk ke dalam Stadium Malawati, seorang politikus sedang berucap. Sambil memasang telinga, mata saya ingin melihat siapa yang hadir. Saya tidak ambil pot muka-muka siapa yang duduk di atas pentas atau siapa yang duduk di barisan depan. Mereka ini semua pastilah para gedebe.

Apa yang ingin saya lihat ialah orang yang duduk di bawah pentas. Saya kagum apabila melihat rakyat biasa yang memenuhi stadium di pagi Sabtu itu. Mereka tidak berbatik lengan panjang seperti budaya gerombolan United Malays National Organisation.

Mereka juga tidak berdasi dan bertali leher. Majoriti duduk di dalam stadium hari itu adalah rakyat biasa yang mukanya sering saya temui di perhentian bas, di warung-warung atau di pasar malam.

Yang lebih mengkagumkan ialah kepelbagian bangsa-bangsa yang hadir. Untuk saya, ia bukan kongres Melayu, bukan kongres Cina, bukan kongres Islam, bukan kongres India, Dayak, Iban atau Kadazan.

anwar ibrahim pkr congress 021208 06 Kongres PKR di Stadium Malawati hujung minggu akhir November ini jelas memperlihatkan kemalaysiaan - kongres rakyat Malaysia, rakyat biasa.

Saya tidak nampak muka Mak Datin atau muka Minah cun ala Umi Halfida yang datang berbedak dan bergincu. Atau Mak Datin yang datang dengan tas tangan Prada atau lelaki gendut berbaju batik bercincin besar seperti Ahmad Ismail dari Bukit Bendera.

Tidak juga kelihatan susuk Abang Zak yang memakai kaca mata hitam Gucci.

Saya senang hati apabila melihat bahawa PKR masih lagi dimiliki oleh rakyat Malaysia. Parti muda ini masih dalam keadaan selamat belum menjadi barang dagangan - belum lagi (sic) .

Apabila sesi persidangan berhenti rehat, saya menebeng di tepi pintu untuk memerhatikan muka-muka yang berkongres dengan lebih rapat. Ada Mak Cik berbaju kurung, Pak Cik bersongkok berbaju Melayu, Nyonya dan Amoi memakai gaun, wanita India bersari, Pak Lebai dan Punjabi yang berserban rapi.

Ada juga yang memakai baju batik berlengan panjang, saya menganggap mereka ini seperti tersalah masuk Kongres.

Di luar stadium pula, makanan telah disediakan. Tidak lagi nasi bungkus seperti di Ipoh. Kini mereka yang berkongres dan sesiapa sahaja yang datang mencari ambience seperti saya akan dipelawa makan. Ada masakan Melayu, ada masakan India, ada masakan Cina dan ada masakan sayuran untuk yang tidak memakan hidupan – malah ada banyak pilihan.

Makan tengah hari ini bertambah lumayan kerana satu kumpulan pemuzik terus menghibur para tamu dengan lagu-lagu keroncong untuk merehatkan kepala sesudah mendengar ucapan-ucapan dari para pemimpin.

Ketika saya hendak beratur mengambil makanan, saya melintasi satu khemah khusus dengan empat meja besar. Kipas angin terpasang ligat. Sudu dan garpu tersusun rapi. Terhidang indah di meja ini makanan yang pastinya untuk para gedebe.

pkr national congress 301108 delegate swearing Saya hairan kenapa para gedebe ini tidak beratur sama seperti orang biasa untuk mengambil makanan. Nampaknya hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation itu telah menyerap.

Ada garis pemisah yang amat jelas di antara para gedebe PKR dengan orang biasa. Lalu saya teringat beberapa minit tadi pemimpin parti telah berucap mengatakan bahawa kemenangan 8 Mac yang lalu adalah kerana sokongan rakyat, bukan kerana kekuatan dan jentera parti.

Nampaknya menyuarakan retorik politik baru ini cukup enteng tetapi melaksanakan budaya politik baru ini masih amat jauh dari hati para gedebe. Mungkin mereka tidak memahami politik baru juga wajib membawa budaya baru yang bukan budaya feudal.

Setelah makan, saya meleser untuk melihat gerai-gerai jualan. Tidak banyak yang menarik. Malah hanya ada satu, dua gerai yang berstatus keilmuan menjual buku; yang lain-lainnya hanyalah warung-warung biasa yang menjaja khazanah Gerakan Reformasi yang sering saya temui di ceramah-ceramah besar.

Anak muda? Mereka kelihatan berkeliaran - ia seakan-akan pesta untuk mereka. Malah ada yang agak terlalu muda untuk mengetahui apakah yang sedang berlaku di dalam stadium.

Mungkin kerana sedang bercuti sekolah, ada anak-anak sekolah kelihatan menjual beg biru untuk dibawa pulang sebagai tanda kenang-kenangan ketika berkongres di Stadium Melawati.

Lalu timbul persoalan - apakah api dan semangat perjuangan masih membara? Jawabnya iya dan tidak.

Ketika mendengar ucapan pemimpin di dalam stadium, masih ada laungan "re-for-ma-si" kedengaran. Tetapi laungan itu tidak lagi mengegarkan stadium.

Mungkin kerana Angkatan Muda Keadilan (AMK) sedang sibuk mengisi borang melamar kerja atau mengisi borang kontrak daripada lima kerajaan Pakatan Rakyat.

Kongres tahun hadapan, saya bercadang untuk datang lagi kerana saya ingin bertanya apakah AMK telah mendapat pekerjaan atau telah mendapat kontrak.

Jika telah mendapat apa "yang diminta", pastilah tiada lagi laungan "re-for-ma-si".

ADS