Malaysiakini
SENI & HIBURAN

Rosyam bangga berlakon bawah pengarah muda

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 14 Mei 2016, 7:00 pagi

Bersaing di tengah-tengah ramai bakat muda, Datuk Rosyam Nor tetap berasa puas apabila masih diyakini pengarah dan penerbit filem untuk membawa watak hero meskipun usianya hampir separuh abad.

Dibandingkan dengan produksi Hollywood AS atau Bollywood misalnya, perkara itu diakui Rosyam bukanlah luar biasa.

Bercakap kepada Malaysiakini, Rosyam yang kini berusia 49 tahun menzahirkan keterujaannya itu selepas namanya diangkat sebaris pelakon muda menjayakan filem kepolisan arahan Syafiq Yusof, KL Special Force.

“Sungguh tak sangka, pada usia begini saya masih berpeluang diberi kepercayaan memegang watak utama dalam filem dan genre aksi pula.

“Setahu saya, belum ada filem tempatan menggunakan hero berusia lanjut," katanya.

Memulakan kariernya sebagai Remy dalam Gila-gila Remaja pada 1986, perjalanan Rosyam sebagai pelakon terus berkembang sejak itu.

Tahun depan 50 tahun

Jika Hussein Abu Hassan mengambilnya berlakon 30 tahun dulu, kini Rosyam boleh lebih berbangga kerana berpeluang berlakon dengan aktor legenda filem Tamil, Rajinikanth, dalam Kabali.

Namun belum ada istilah berpuas hati pada Rosyam.

Seolah-olah masih ada yang ingin dikejar pemenang anugerah Pelakon Filem Lelaki Terbaik Festival Filem Asia Pasifik ke-51 pada 2006 itu.

Kata Rosyam dia sangat menghargai kepercayaan membawa watak utama pada usia agak lanjut.

“Sekiranya filem ini mula ditayangkan pada tahun depan, usia saya ketika itu akan genap 50 tahun, dan ia benar-benar memberikan satu kepuasan,” katanya.

Menceritakan tentang KL Special Force, Rosyam memberitahu dia belum ada pengalaman berlakon di bawah pengarah muda itu.

Bagi Rosyam, bekerja dengan Syafiq, 23, seakan membuka lembaran baru untuknya, malah boleh juga dianggap sebagai strategi memanjangkan karier seninya.

Tak teragak-agak terima

“Saya melihat Syafiq sebagai pengarah muda yang mempunyai kredibiliti melahirkan karya yang bagus.

“Saya memerlukan orang muda seperti dia untuk menyokong perkembangan karier. Pengalaman dan kebolehannya sebagai pengarah pula memang tidak dapat dinafikan,” katanya.

‘Minat’ Rosyam kepada Syafiq bukan sedikit sebenarnya.

Kata Rosyam, dia mula mengikuti penuh minat satu persatu karya yang pernah hasilkan Syafiq sebelum ini.

“Minat untuk berlakon di bawah arahannya wujud sejak dia berusia 18 tahun lagi apabila dia mengarah filem pertamanya iaitu Sam.

“Sejak itu saya mula membiasakan diri menonton karya Syafiq termasuk Villa Nabila dan Abang Long Fadil,” katanya.

Selain Rosyam, turut membintangi KL Special Force ialah abang kepada Syafiq, Syamsul, Fattah Amin dan Tania Hudson. Ia adalah filem usahasama Skop Productions Sdn Bhd, Viper Studios Sdn Bhd dan Damofa Productions Sdn Bhds dan baru memulakan penggambarannya pada 15 Mei lalu.

Apabila ditawarkan berlakon dalam KL Special Force pada tahun lalu, Rosyam langsung tidak teragak-agak menerima.

“Dan apabila saya membaca skrip itu, saya amat terkejut kerana aksi yang perlu dilakukan memang kaw kaw, memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang tidak berbelah bagi," katanya.

Malaysiakini telah menyajikan laporan percuma dalam bahasa Melayu selama 17 tahun. Langkah ini diambil sebagai khidmat kami untuk masyarakat.

Kami berharap ia dapat membantu pembaca membuat keputusan terhadap sesuatu perkara secara bermaklumat, selain menggalakkan perbahasan serius berkaitan isu-isu melibatkan kepentingan awam.

Malaysiakini juga berharap rakyat Malaysia tidak ketinggalan dalam isu-su penting dalam negara.

Langgan Malaysiakini (versi Bahasa Inggeris) sebanyak RM20 sebulan atau RM200 setahun bagi mendukung media bebas di negara ini.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.