Seni & Hiburan Malaysiakini

Farid cipta penjahat sendiri dalam J Revolusi

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Selepas sekian lama menceburi bidang lakonan Farid Kamil nampaknya benar-benar teruja dengan cabaran watak antagonis diberi pengarah dalam filem aksi terbarunya, J Revolusi.

Lebih menyebabkan dia teruja, watak itu tidak mempunyai sebarang rujukan sebaliknya 100 peratus ciptaannya sendiri.

“Saya diberi kepercayaan sepenuhnya untuk menghidupkan watak penjahat kolar putih yang gemar melakukan pembunuhan sesuka hati.

“Menerusi filem berkenaan, saya berpeluang menjiwai karakter antagonis itu sepenuhnya.

"Ia bukanlah watak yang biasa dilihat atau pernah dibawakan dalam filem terdahulu," katanya kepada Malaysiakini.

 

 

#Repost @faridkamilz (via @repostapp) ・・・ J Revolusi #JRevolusi ... 😎😎

A photo posted by J : REVOLUSI (@jrevolusi) on

 

Pelakon dan pengarah itu ditemui di majlis berbuka puasa dan rakaman program sambutan Aidilfitri Astro di Kuala Lumpur semalam.

Kata Farid, untuk menjayakan wataknya dalam J Revolusi tiada sebarang rujukan untuk dicontohinya.

Seperti kata pengarah, jelas Farid, untuk menghidupkan watak sebegitu idea dan definisi 'jahat'itu perlu direka sendiri.

J Revolusi adalah filem pertama arahan Zulkarnain Azhar, memaparkan kehidupan dan cabaran dihadapi anggota polis di unit tindakan khas (UTK).

Dan untuk menjayakan filem itu, ia turut mendapat kerjasama daripada Polis Diraja Malaysia.

Dengan anggaran peruntukan sebanyak RM3 juta, Grand Brilliance dan Infinitus Production menjangkakan ia dapat menemui penonton pada 2017.

Infinitus Productions adalah syarikat produksi filem dimiliki aktor terkenal Hong Kong, Andy Lau.

Untuk melengkapkan lagi filem aksi berkenaan, J Revolusi turut dibintangi pelakon seperti Zul Ariffin dan Nur Fazura Sharifuddin.

Menurut Farid yang pernah menerima Anugerah Seni Negara, tiada istilah sukar untuknya sewaktu dia menerima tawaran membawakan watak itu.

“Bagi saya, ia lebih kepada cabaran yang harus digalas dan mesti dilakukan dengan sebaik mungkin. Perkara itulah yang akan saya buktikan apabila penonton melihat persembahan saya nanti,” katanya.