Seni & Hiburan Malaysiakini

Seniman dan dosa menjadi miskin

Abdulahjones  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

PULASAN | Siapa pun tidak akan peduli dengan baik yang engkau lakukan sehingga engkau mampu membeli bahagia dengan bayaran wang ringgit yang tinggi.

Kesalahan paling kecil yang engkau lakukan akan jadi maksiat yang tidak terampun jika engkau miskin harta benda.

Bukan mahu menulis fasal perkara diatas, cuma apa yang ada di dada perlu dicurahkan terlebih dulu bagi mewakili si miskin (pada mata banyak orang) iaitu Sinaganaga - bapa buku indie Malaysia - dan Sani Sudin - seniman yang tidak didendang itu.

Bercakap fasal Sani Sudin, dulu jika kami mahu tahu berita tentang lagu-lagu baru, kami akan menala Rangkaian Biru radio Malaya.

Setiap Ahad akan ada rancangan memperkenalkan penyanyi di stesen itu. Dan kami suka rancangan yang ditaja oleh syarikat Polygram Records.

Patut dah lama diangkat

Suatu pagi minggu - bersama Abu Yusuf dan Lan Kitab - kami menunggu rancangan yang disebut itu.

Antara lagu yang diperkenalkan pada hari itu ialah lagu berjudul Masihkah Kau Ingat oleh kumpulan Kopratasa.

Tentu saja kami suka akan lagu berkenaan, dan baru hari itu kami sendiri tahu bahawa Sani Sudinlah yang menulis lirik lagu berkenaan.

Kami memang begitu - dikenal sebagai tidak ambil endah hal orang dan amat pentingkan diri sendiri.

Sani Sudin ialah seniman sejati yang - jika mendapat tunjuk ajar yang benar dalam mempersembahkan diri kepada khalayak - sepatutnya lama dulu sudah diangkat tinggi bersama pengkarya musik dan lirik besar lain di negara ini.

Malangnya - seperti yang dikatakan tadi - beliau seorang yang begitu. Mahu jadi diri sendiri tanpa mahu memuaskan hati siapa-siapa.


Baca Weskot dan baton bercahaya adalah tiket ke sorga


Dan memang begitu agaknya kejadian buat sesiapa pun yang ditulis nasibnya sebagai "orang seni".

Mereka senang dalam tidak senang, dan tenang dalam semua huru-hara.

Makan apa yang ada tanpa menyusahkan sesiapa. Entahkan malang entahkan mujur dilahirkan begitu.

Kami tidak mengenali Sani Sudin secara peribadi. Bahkan walau kami ini sangat terkenal dan pernah satu atau dua kali duduk dalam kumpulan yang minum bersama beliau, Sani mungkin tidak pernah pun mendengar nama kami.

Namun begitu, kami memandang Sani Sudin sebagai seorang seniman yang tidak ada dosa. Sentiasa tersenyum dan sentiasa gembira ceria. Sesiapa saja yang ada di sekeliling beliau akan sangat terhibur.

Dengan ukelele ditangan, beliau bersahaja melagukan jiwa, meluahkan luka sambil ketawa.

Tetapi siapa yang mahu memandang apabila kamu memakai jeans yang digunting sendiri dan singkat sebelah? Siapa peduli jika sambil tergelak engkau lagukan kedukaan isteri yang sedih tidak mampu beli susu anak?

Si penipu yang berbaju kemas boleh saja mempedaya dengan janji emas dan dipercayai sedang si sengkek yang telus dipandang jahat walau hatinya segunung intan.

Sani Sudin banyak menulis lirik lagu yang sangat popular pada tahun-tahun 1980-an dan 1990-an.

Antaranya adalah Melayar Bahtera oleh kumpulan Search, Isi Dan Kuku, Ke Pintu Kasihmu, dan banyak lagi.

Semua orang tahu bahawa untuk masuk dan faham isi hati seseorang penulis ialah dengan membaca tulisannya. Dan adalah sangat kami cadangkan kamu cari dan baca kembali sajak, puisi serta lirik yang ditulis oleh Sani Sudin.

Tanpa dosa, sangat mulia

Mungkin selepas itu kamu akan faham mengapa perlu lebih kenal dengan seniman yang tidak dilaung zaman ini.

Untuk makluman, tadi Sinaganaga membayar RM43 dan beberapa sen untuk tiga cawan kopi di Espressolab, KL Sentral untuk kami serta Meor - si busker sufi itu.


Baca Memaki drama Melayu


Sebelumnya, RM56 untuk kopi, roti dan makanan kami serta Aloy Paradox serta si Helmi yang belum dapat gaji itu di The Loaf Sogo, kedai yang katanya milik bekas perdana menteri yang minta diraikan sekali lagi itu.

Dan kamu katakan Sani Sudin miskin hanya kerana beliau ke sana ke sini berjalan dengan kami dalam kemeja T.

Calon menantu bagaimana lagi yang kamu cari, kami pun keliru tidak menentu.

Sengaja kami menulis fasal kawan-kawan kerana kamu jenis tak boleh ditegur. Partai kamu saja yang benar. Pejuang agama bangsa dan negara yang nombor satu. Tiada dosa dan tidak terperi mulia.

Lagi pun, jika kawan-kawan yang kami sebut ini marah ditulis, kami maki saja. Alahhh, macam kamu biasa buat bila tidak setuju dengan tulisan kami.


ABDULLAHJONES ialah pelukis, penulis dan penyair yang sederhana. Juga seorang jurugambar amatur serta seorang ninja dalam latihan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.