Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lepasan Aswara lancar petisyen bantah pelantikan rektor

Seorang lepasan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) hari ini melancarkan petisyen dalam talian bagi mendesak rektor institusi pengajian tinggi (IPT) itu ditamatkan perkhidmatannya.

Melalui petisyen dimulakan Nur Lina Mastura Tajaludin itu bekas penuntut IPT berkenaan menyasarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia untuk menyuarakan rasa tidak berpuas hati apabila kontrak rektor terbabit disambung baru-baru ini.

“Petisyen ini sebagai tuntutan agar Rektor Aswara, Datuk Dr Mohd Rizon Juhari berundur dari terus mentadbir di Aswara,” katanya.

Dalam dakwaannya itu, Nur Lina, 27, menyatakan beberapa sikap negatif sering dipamerkan rektor terbabit.

Menurutnya, sebagai seseorang yang memegang jawatan tertinggi, beliau gagal menunjukkan ciri-ciri pemimpin yang boleh dicontohi.

Untuk rekod, rektor itu sebelum ini pernah diperintah membayar ganti rugi RM70,000 pada bekas pensyarah Aswara atas kesalahan membuat kenyataan berunsur gangguan atau komen seksual. 

Bagaimanapun kes itu masih di peringkat rayuan.

Kontrak rektor terbabit disambung bermula 17 Jan tahun ini hingga 16 Januari 2021.

Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Timbalan Rektor selama dua tahun sebelum menggantikan Prof Dr Hatta Azad Khan yang menjawat jawatan berkenaan untuk tempoh lima tahun dan kontraknya tamat.

Petisyen terbabit juga mempertikai fungsi dan tindakan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohamaddin Ketapi, yang menyambung kontrak rektor terbabit walaupun sudah disabitkan kesalahan di mahkamah.

“Kami juga menuntut agar menteri tampil menjelaskan bagaimana seseorang yang sudah disabitkan kesalahan melakukan gangguan seksual terhadap bekas kakitangan Aswara disambung kontrak sebagai seorang rektor,” katanya.

Petisyen dilancarkan kira-kira jam 2 petang tadi menyasarkan jumlah sekurang-kurang 200 tanda tangan.

Melalui semakan Malaysiakini setakat ini ia telah berjaya mengumpul lebih 200 tanda tangan dalam tempoh kurang dua jam.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi balas daripada Mohd Rizon dan Mohamaddin berhubung dakwaan tersebut.

Lihat Komen
ADS