Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kenapa Doraemon pilihan promosi Tahun Melawat Malaysia?'
Diterbitkan:  Apr 23, 2019 7:35 PM
Dikemaskini: 1:34 PM

Ada banyak watak animasi tempatan yang boleh digunakan Balai Seni Negara untuk mempromosi Tahun Melawat Malaysia 2020 selain Doraemon, kata Persatuan Animasi Malaysia (Animas).

Presidennya Ameir Hamzah Hashim berkata sepatutnya kerajaan menampilkan watak animasi tempatan untuk mempromosi acara tersebut.

Katanya langkah itu menunjukkan kerajaan menghargai dan meraikan karyawan animasi tempatan berbanding Doraemon yang bukan berasal dari negara ini.

"Malaysia tidak kurang hebatnya dengan watak animasi sedia ada.

"Antaranya Lat Kampung Boy, Upin dan Ipin, Boboiboy, Usop Sontorian, Keluang Man dan lain lain yang pernah dan masih digemari penonton," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Mac lalu Balai Seni Negara mengumumkan rancangan mereka untuk mengadakan pameran lukisan bertemakan Doraemon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Doraemon ialah watak animasi dari Jepun yang terkenal di seluruh dunia.

Malaysia, Jepun kerjasama

Pengerusi Balai Seni Negara, Rashidi Hasbullah, berkata pameran lukisan berkenaan secara tidak langsung boleh mempromosi Malaysia di seluruh dunia.

Katanya Doraemon mempunyai peminat di seluruh negara dan secara tidak langsung menjadi daya penarik pelancong luar datang ke negara ini.

“Kita akan lihat bagaimana Malaysia dan Jepun dapat bekerjasama dalam hal ini, mungkin akan adakan pameran lukisan sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Peminat Doraemon bukan saja dalam kalangan kanak-kanak, tetapi juga pelbagai usia kerana kita tahu kartun berkenaan turut mempunyai nilai positif dalam setiap ceritanya,” katanya seperti dipetik BH Online.

Menurut Amier Hamzah Animas sangat kecewa dengan pendekatan diambil Balai Seni Negara itu.

Buat apa pakai animasi Malaysia?

Katanya Animas tidak menghalang sebarang usaha mempromosi negara dan industri pelancongan.

"Namun kami mengharapkan karya tempatan dapat dibariskan bersekali atas sifat silang budaya, selain menjulang kreativiti tempatan kepada khalayak antarabangsa.

"Tahun Melawat Malaysia 2020 juga menjadi medan menzahirkan budaya kita kepada pelancong dari pelbagai pelusuk dunia," katanya.

Sementara itu, syarikat penerbit filem animasi tempatan Upin Ipin, Les' Copaque Production Sdn Bhd dipercayai menyindir cadangan BSVN itu pada hantaran media sosial yang disertakan berita pameran Doraemon mempromosi Tahun Melawat Malaysia.

"Benda boleh pakai animasi luar untuk promosi Malaysia, buat apa pakai animasi Malaysia sendiri," kata hantaran itu.


Lihat Komen
ADS