Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menetapkan sebutan semula kes pendakwah selebriti Syed Shah Iqmal Syed Mohammad Shaiful atas pertuduhan seks luar tabii dan mencabul penuntut kolej pada 19 Mac depan.

Peguam Syed Shah Iqmal, Syed Amirul Syed Edros berkata, sebutan semula kes yang sepatutnya berlangsung hari ini, tidak dapat dilaksanakan berikutan kertas siasatan tidak dibawa ke mahkamah.

“Sebutan hari ini sepatutnya untuk serahan dokumen, tetapi serahan dokumen tidak dapat dibuat disebabkan fail kertas siasatan tidak dibawa ke mahkamah.

“Timbalan Pendakwa Raya tadi memaklumkan bahawa fail ada di pejabat pendakwaan negeri Selangor di Shah Alam dan disebabkan itu, fail tidak dibawa.

“Maka mahkamah terus putuskan kes ditangguh ke 19 Mac 2021,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi.

Pada 10 Disember tahun lalu, Syed Shah Iqmal, 25, dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan melakukan seks luar tabii dan didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bekas peserta program berunsur keagamaan itu juga dihadapkan dengan pertuduhan melakukan kekerasan jenayah dengan maksud mencabul kehormatan seseorang terhadap wanita sama.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Mahkamah membenarkan ikat jamin sebanyak RM25,000 terhadap kedua-dua dakwaan tersebut.

Selain itu, Syed Shah Iqmal yang juga penyanyi dan pelakon itu juga dihadapkan dengan pertuduhan merogol di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada hari sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Mengulas berhubung sebutan semula kes di Shah Alam, Syed Amirul berkata ia juga ditangguhkan pada 16 Mac ini.

Menurut Syed Amirul, sebutan semula kes itu yang sepatutnya berlangsung di mahkamah sesyen pada 25 Januari lalu ditunda berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula pada 13 Januari lalu.

“Kes di Shah Alam ditangguh kerana mahkamah belum buka. Jadi tangguh 16 Mac untuk sebutan kali pertama,” jelasnya.

Lihat Komen
ADS