Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Gara-gara dakwaan seorang wanita dikenali dengan nama bermula huruf F, pelakon Azri Iskandar mengakui nasibnya sebagai pelakon terjejas apabila namanya digugurkan daripada persembahan teater.

Kata Azri, selepas tular video F di sebuah portal hiburan, pihak penganjur mendakwa tidak mahu mengambil risiko kerana bimbang kontroversi yang melanda dirinya boleh mengundang impak buruk terhadap imej pementasan tersebut.

“Saya dimaklumkan dibuang selepas pihak produksi dan penganjur berbincang secara mendalam. Mereka buang saya sebab percayakan fitnah tersebut.

“Padahal saya tak buat satu titik dosa pun, mereka tak buat siasatan tapi terus jatuh hukuman pada saya, adilkah begini? Saya kerugian RM8,000 yang boleh ditambah sebagai wang untuk urusan perkahwinan saya dengan Azra nanti.

Ibu bakal tunang pengsan

“Justeru saya mahu ambil tindakan menyaman portal terbabit kerana menyiarkan berita tidak sahih serta pihak penganjur teater kerana saya terpaksa tolak semua tawaran lain demi fokus kepada persembahan tersebut,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Lebih malang kata Azri, ibu bakal tunangnya, Azra Diera pengsan dan masih dirawat di hospital hingga ke hari ini selepas menonton berita tular itu.

“Dua hari lalu, lepas solat asar, saya tonton video F dengan kata-kata yang sangat ‘baik.’ Adakah ini yang nak dijadikan calon menantu?

“Mak Azra pengsan dan sampai hari ni ditahan di wad hospital, mujur ada adiknya untuk menguruskan situasi cemas tu. Azra tak berada di tempat kejadian.

“Dari Kuala Lumpur dia bergegas pulang ke kampung hari tu juga untuk melawat ibunya,” jelasnya.

Hubungan dengan Azra utuh

Ditanya mengenai tindakan bakal diambil terhadap wanita terbabit, Azri menjawab: “Saya akan mempertimbangkan tindakan selanjutnya.”

Azri pada masa sama mendakwa, dia tidak pernah mengajak F untuk berkahwin sebaliknya hanya meminta bantuan wanita terbabit untuk menghantarnya pulang ke kampung ekoran cukai jalan kereta dan lesen memandu sudah tamat tempoh.

Selain itu, kata pelakon Jangan Tegur itu, dia turut meminta pertolongan F kerana ingin melawat kubur arwah ibunya.

Azri bercerai talak satu dengan pengarah, penulis skrip Ellie Suriati Omar pada 17 Mei lalu. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Azrell Omar, 17, dan Nur Azreen, 13.

Dia yang juga pelakon Sabarlah Duhai Hati itu melalui perkahwinan pertama mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Afiq Iskandar, 31, Farah Qistana, 29, dan Nur Anis Mastura, 27.

Mengulas hubungannya dengan Azra, Azri berkata, hubungan mereka masih utuh hingga ke hari ini.

Katanya, spekulasi dan fitnah dilemparkan ke atasnya tidak sedikit pun menggoyahkan hubungan yang dirancang berakhir ke jinjang pelamin pada hujung bulan ini.

“Alhamdulillah, Azra dan saya masih baik. Dia tak percaya segala kontroversi membabitkan hubungan kami. Insya-Allah, saya tetap akan menikahi dia, sekiranya benar jodoh,” tuturnya.

Lihat Komen
ADS