Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din tiba-tiba muncul dari ‘pertapaannya' baru-baru ini dan mengulas di sebuah akhbar dengan lantang akan kenyataan Tun Dr Mahathir mengenai isu peribahasa Inggeris berbunyi "lebih baik memilih ‘syaitan' yang dikenali dari memilih ‘malaikat' yang tidak dikenali".

Sekian lama kita mencari ke mana menghilangnya tokoh ulama PAS yang suatu ketika amat tersohor ini di kalangan umat Islam. Malah saya juga ketika itu sangat menghormati ketokohan ‘Tuan

Guru' ini.

Datuk Dr Haron Din mengulas kenyataan itu dengan meminta Tun Mahathir ‘bertaubat' kerana dianggap menyeleweng dari akidah.

Beliau juga mengulas bahawa tiada ayat Al Quran yang ‘menyokong' kenyataan Tun Mahathir tanpa memahami atau bertanya sendiri dengan Tun Mahathir tentang ucapan tersebut.

Perkara ini juga turut pernah terjadi kepada YAB Perdana Menteri tidak beberapa lama dahulu apabila seorang mufti mengambil kesempatan ‘membelasah' Perdana Menteri melalui media kerana isu kehadiran beliau ke satu perayaan keagamaan kaum India.

Perkara seperti ini seolah-olah dinanti-nanti oleh golongan ulama untuk mencari-cari salah umarak dan kelihatannya seperti mahu mempopularkan diri dan membetulkan keadaan secara terbuka. Justeru saya pun ingin bertanya bagi membetulkan pandangan Datuk Dr Haron Din secara terbuka.

Malah dalam isu kenyataan Tun Mahathir, ianya umpama ‘bola tanggung' yang dinanti-nanti oleh Datuk Haron Din untuk muncul dari ‘pertapaannya' selama ini.

Amat menghairankan kerana Haron Din membisu apabila mursidul am PAS pada suatu ketika secara terang-terangan menyatakan sanggup bersahabat dengan ‘syaitan' asalkan ‘syaitan' sanggup membantu kemenangan PAS.

Kenyataan Nik Aziz itu mungkin merujuk kepada DAP, tetapi Haron Din dan penganut PAS bijak

pula mentafsir kenyataan tersebut dalam konteks yang lebih terbuka.

Sedangkan jika beliau seorang ulama yang adil dan saksama, maka kenyataan Nik Aziz ini jauh lebih dahsyat kerana sanggup memilih ‘syaitan' sebagai sahabat dari memilih ‘manusia seagama' sebagai rakan politik dalam memerintah negara.

Malah setakat ini belum ada ‘peribahasa Inggeris' yang saya jumpa berkaitan kenyataan Nik Aziz itu

untuk mempertahankan kenyataan tersebut.

Apakah dalam isu ini Datuk Haron Din tidak terjumpa begitu banyak firman Allah di dalam al-Quran yang melarang manusia memilih dan bersekutu dengan syaitan? Apakah ulama dan ahli PAS terlupa bahawa syaitan itu musuh kamu yang nyata?

Apakah Haron Din atau ulama PAS mempunyai ‘kekebalan' dari hasutan syaitan sedangkan Nabi Adam AS pun mampu diperdaya oleh syaitan. Janganlah kita ujub dan takabur seolah-olah dengan ketinggian ilmu yang kita mililik maka kita beranggapan kita ‘berada di jalan yang lurus'.

'Maksiat' perpecahan masyarakat

Bagi syaitan yang mempunyai pengalaman luas dan bekas ketua malaikat maka tentulah bukan

menjadi masalah untuk menyesatkan keturunan Adam AS termasuklah ulama-ulama atau tok guru apatah lagi manusia marhaen seperti saya.

Malah perkataan ‘maksiat' juga merujuk kepada ‘perpecahan dalam masyarakat' yang secara jelas dan terang telah dilakukan oleh PAS sejak 1951. Kesan ‘maksiat perpecahan' adalah jauh lebih besar kepada masyarakat dan ianya boleh kita lihat di kalangan umat Islam di negara ini.

Sewaktu menjadi penganut PAS suatu ketika dahulu, saya begitu marah apabila Tun Mahathir ‘menghina janggut Nabi SAW'. Hanya dari ‘rakaman suara' mesyuarat MKT Umno isu itu menjadi panas dan dijadikan alat untuk umat Islam membenci Tun Mahathir.

Masa berlalu dan kini saya melihat penganut PAS masih menghukum Tun Mahathir dalam isu ‘janggut

nabi'. Secara realitinya Tun Mahathir mungkin naïf mengenai keadaan ketika zaman Rasullullah SAW tetapi menghukum beliau tanpa mengetahui niat ucapannya seolah-olah kita mendahului Yang Maha Esa.

Malah sehingga ke hari ini hukuman sesat dan penghinaan telah pun dijatuhkan oleh pemimpin dan penganut PAS sedangkan ianya tidak melibatkan akidah dan kepercayaaan Tun Mahathir dalam soal darjat dan kenabian Baginda Nabi SAW.

Di mana keberanian ulama seperti Haron Din apabila timbul persoalan amat besar dalam kenyataan Nik Aziz mengenai isu sambutan maulud Nabi SAW? Rakaman dalam Youtube dan komen Nik Aziz mengenai Nabi SAW amatlah pelik tambahan diungkapkan oleh tok guru merangkap mursidul

am PAS.

Malah yang paling dahsyat apabila beliau menafikan sirah Nabi Muhammad SAW sebelum baginda diangkat sebagai Nabi. Kenapa Haron Din membisu dan penganut PAS mendiamkan diri dalam isu yang jauh lebih besar ini dan penghinaan yang sangat mengelirukan ini?

Dalam isu ‘Negara Islam' apakah Haron Din sudah terlupa ceramah beliau mengenai ‘Dokumen Negara Islam dan Hudud' yang menjadi agenda beliau atau PAS suatu ketika dahulu ?

Di mana kelantangan Haron Din bila presiden PAS ketika menjadi menteri besar Terengganu dengan selamba mengatakan bahawa hudud hanya 1 peratus dari keseluruhan ajaran Islam?

Apakah Haron Din tidak sempat langsung menonton dalam Youtube akan kenyataan Nizar

Jamaluddin di dalam DUN Perak yang ‘menafikan' bahawa PAS pernah mengeluarkan Dokumen Negara Islam dan mahu melaksana undang-undang hudud?

Paling menyedihkan, di mana Datuk Haron Din bila sahabat beliau YB Dato Dr Hassan Ali ketika menjadi mangsa pemecatan PAS semakin yang tidak demokratik.

Di mana pembelaan Haron Din dan apakah kesalahan Hassan Ali hanya kerana mahu mempertahankan isu akidah umat Islam di negeri Selangor (tempat tinggal Haron Din sendiri)?

Kecelaruan pluralisme

Tidakkah terbuka pintu hati beliau melihat isu besar dan kecelaruan fahaman pluralisme dan LGBT yang menghimpit negara dan menjadi agenda pihak tertentu?

Suatu ketika ulama yang mempertahankan pemerintah pernah dilabel sebagai ‘ulama bisu' oleh PAS, tetapi apa yang kini saya peribahasa ‘meludah ke langit jatuh ke muka sendiri'.

Beliau dan ulama PAS bukan sahaja tidak berani bersuara membetulkan partinya sendiri tetapi masih mencari-cari kesilapan Umno dan pemimpinnya. Semakin hari umat Islam membuka mata dan dapat menilai sejuh mana ketelusan dan kejujuran ulama PAS dalam membawa agenda perjuangan Islam.

Ulama PAS mungkin tidak terpandang Firman Allah yang menyuruhnya umatnya menyambung silatulrohim, bersangka baik, mentaati pemimpin, bersyukur, sabar dan banyak lagi perintah Allah SWT yang menuntut kita menterjemahkan sifat-sifat ‘mahmudah'.

Apa yang dilihat, kebanyakkan sifat mazmumah sudah mula sebati dalam pemikiran dan tindak tanduk PAS.

Sebagai bekas penganut fahaman PAS saya terbaca hadis ini:

Muaz ibni jabal berkata Rasulullah SAW sambil berjalan memegang tangannya: "Wahai Muaz! Aku wasiatkan kamu supaya bertakwa kepada Allah dan bercakap benar iaitu menepati janji, menunaikan amanah, meninggalkan khianat dan mengasihani anak-anak yatim, memelihara jiran tetangga,

mengawal dan lembut percakapan, menyebarkan salam dan taat setia kepada pemimpin yang adil, berusaha memahami al-Quran, kasih akan akhirat, takut hari hisab, pendek angan-angan dan baik amalan. Aku larang kamu dari memaki hamun orang Islam atau mempercayai pembohongan atau mendustakan orang yang benar atau menderhakai pemerintah yang adil. (hadis riwayat Al Baihaqi).

PAS sudah jauh tersasar kerana menjadikan agama sebagai alat politik mereka tetapi langsung tidak mencerminkan akhlak dan keperibadian Islam yang syumul. PAS bukan tempat yang selamat untuk para ulama seperti Haron Din bersuara dengan jujur dan ikhlas.

Inilah hakikat yang Allah SWT sampaikan kepada Nabi SAW agar kita berhati-hati berhati-hati dengan ulama politik.

Sabda Nabi SAW: "Di akhir zaman nanti, menjelang kiamat, orang fakih (ulama) pada zaman itu akan menjadi sejahat-jahat manusia (gelagat serta pendapat dan fatwa mereka) yang menimbulkan fitnah dalam masyarakat, tapi fitnah itu berbalik kepada mereka sendiri." (hadis riwayat Ibnu Umar & Imam Al Hakim dalam kitab Tarikh Naisabur )

Saya masih mengharap dan berdoa agar pintu hati Datuk Dr Haron Din akan terbuka untuk membetulkan keadaan dari dalam PAS. Beliau mempunyai ‘aura besar' dan mampu menyatupadukan umat Islam di negara ini.

Berdosakah jika beliau membantu YB Nasharudin Mat Isa yang keseorangan untuk menyatupadukan Umno-PAS demi masa depan Islam dan bangsa Melayu.

Kesempatan emas ini harus di rebut oleh beliau bagi menyelamatkan Islam di negara ini. Semoga Allah SWT memberikan taufik dan hidayah kepada beliau dalam usaha mencari kebenaran di dalam perjuangannya.

Saya percaya jika pengaruh dan kewibawaan beliau digunakan sebagai ulama sebenar dan bersikap adil dan saksama, Islam akan menjadi agama yang dihormati.

Insitusi ulama hanya boleh dipandang sebagai ‘perwaris Nabi' jika Datuk Dr Haron Din dan ulama tidak memihak dalam memberikan pandangan mereka.

Yang benar katakan benar sama ada ia dilakukan Umno mahupun PAS. Namun jika ia salah, katakanlah‘salah' tanpa menyebelahi mana-mana parti supaya wibawa ulama kembali dihormati.

ADS