Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pulau Pinang kekalkan tarif air

Lim Guan Eng

Perbadanan Bekalan Air (PBA) Holdings akan mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk semua pemegang saham pada 28 Mei 2015 dan salah satu isu utama adalah tuntutan bahawa Pulau Pinang atau PBA Holdings membayar caj air kepada Kedah kerana mengambil air daripada Sungai Muda.

Tuntutan sedemikian adalah tidak berasas dan tidak bertanggungjawab kerana air diambil dari Sungai Muda yang terletak dalam sempadan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri sedia membuat bayaran untuk pengambilan air yang jelas sekali bukan dalam kawasan sempadan Pulau Pinang, tetapi adalah tidak masuk akal bahawa Pulau Pinang dikenakan membuat bayaran untuk pengambilan air dalam kawasannya sendiri. Jawapan lanjut akan dibuat pada mesyuarat agung pemegang saham pada 28 Mei, sekiranya perlu.

Cabaran utama kita ialah kekurangan sumber air mentah kerana Pulau Pinang secara geografinya adalah sebuah negeri kecil dengan sumber air mentah yang agak terhad.

Ketika ini, sumber air mentah utama Pulau Pinang ialah Sungai Muda di Seberang Prai. Sejak tahun 1973, Pulau Pinang mengekstrak air daripada Sungai Muda tanpa sebarang caj. Satu perkara status quo sejak lebih 40 tahun lalu.

Sungai Muda adalah ciri geografi semulajadi yang mentakrifkan sempadan antara Kedah dan Pulau Pinang. Selaras dengan hak riparian, atau hak air, pemilik tanah berhampiran sumber air mentah semula jadi mempunyai hak ke atas aliran semulajadi, penggunaan yang munasabah dan kegunaan yang bermanfaat.

Dengan itu, Pulau Pinang berhak untuk mengekstrak air dari Sungai Muda selaras dengan hak airnya. Kedah juga melakukan perkara yang sama. Oleh sebab itulah, tiada apa-apa caj selama 40 tahun. Demikian juga, tiada keperluan untuk apa-apa caj hari ini atau pada masa akan datang.

Pada tahun 1982, Kedah menandatangani memorandum persefahaman atau MOU, yang menjamin hak Pulau Pinang ke atas air mentah dari Sungai Muda sebagai pertukaran untuk tanah. Pulau Pinang menyerahkan 10,88 hektar tanah kepada Kedah dan bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada Kedah berhubung pengurusan Empangan Muda.

Sebagai balasan, Kedah bersetuju untuk membuat penjajaran semula sempadan negeri ke tengah Sungai Muda agar Pulau Pinang boleh mengekstrak air dari sungai di dalam sempadannya sendiri. Ini adalah dokumentasi "jaminan air" yang disediakan oleh Kedah.

Ia adalah satu prasyarat untuk pinjaman Bank Pembangunan Asia pada 1973 yang diatur oleh kerajaan persekutuan bagi Pulau Pinang melaksanakan projek bekalan air.

Pulau Pinang memperolehi air mentah dari Sungai Muda tanpa sebarang kos kepada Kedah. Pulau Pinang menggunakan infrastruktur dan sumbernya sendiri.

Perlu dinyatakan bahawa Kedah tidak mengepam air mentah ke Pulau Pinang setiap hari. Air mentah dari Sungai Muda mengalir secara semula jadi dengan graviti dari bukit-bukit ke laut. Oleh itu, jika tiada kos kepada Kedah, tiada alasan yang kukuh untuk mengenakan bayaran.

Yang nyata, ketika kemarau teruk berlaku sebelum ini, Pulau Pinang membuat bayaran kepada Kedahbagi air terawat. Walau bagaimanapun, kes-kes terpencil seperti itu hanya membabitkan jumlah air terawat yang agak kecil dan ia tidak dilakukan secara tetap.

Namun, sejak beberapa tahun yang lalu, Pulau Pinang tidak lagi membeli air terawat daripada Kedah.

Jika Kedah perlukan bantuan kewangan untuk melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda yang membekalkan air untuk Sungai Muda, Kedah perlu mendapatkan dana persekutuan untuk melaksanakan inisiatif ini.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015), kerajaan persekutuan telah menyatakan ia akan "mengambil inisiatif untuk menggalakkan negeri-negeri mewartakan hutan terutamanya kawasan tadahan air, sebagai kawasan perlindungan."

Melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Pulau Pinang. Langkah ini turut memberi manfaat kepada 3.8 juta orang di Kedah, termasuk Pulau Langkawi, dan juga Pulau Pinang dan selatan Perlis.

Ia juga akan memastikan air yang selamat bagi "Jelapang Padi Malaysia" dan memelihara kawasan warisan semula jadi penting di Wilayah Utara untuk semua rakyat Malaysia dan pelancong alam sekitar.

Oleh itu, Pulau Pinang akan menyokong penuh permohonan Kedah untuk pembiayaan persekutuan bagi melindungi kawasan tadahan sekitar Ulu Muda.

Dengan sumber sedia ada, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) boleh mengekalkan bekalan air yang baik di Pulau Pinang sehingga Tahun 2020. Setakat ini, tiada catuan di Pulau Pinang walaupun perubahan iklim telah menyebabkan musim kemarau yang lebih lama.

Pada tahun 2014 dan 2015, negeri-negeri lain seperti Selangor, Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor, dan juga Taiping di Perak yang merupakan "bandar paling basah” di negara ini, terpaksa melaksanakan catuan air.

Tiada sebarang catuan di Pulau Pinang, dan Kerajaan Negeri telah mengarahkan PBAPP untuk mengelakkan catuan walau apa cara sekalipun. Pada tahun 2009, PBAPP menjalankan kajian bebas "Kajian Pelan Induk untuk Air Minum di Pulau Pinang sehingga 2050." Laporan kajian mencadangkan pelaksanaan Skim Pemindahan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS).

Ketika membuat perancangan bagi mengelakkan catuan di masa hadapan, kerajaan negeri Pulau Pinang telah banyak kali menulis surat secara rasmi kepada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) iaitu sejak 2013, memohon pelaksanaan segera SPRWTS.

SPRWTS akan menjadi sumber air mentah kedua utama Pulau Pinang untuk menangani cabaran perubahan iklim. Ia juga akan menjamin air mentah yang mencukupi bagi Pulau Pinang sehingga tahun 2050.

Walau bagaimanapun, menteri KeTTHA memaklumkan kepada Pulau Pinang bahawa SPRWTS adalah "terlalu awal" dan Pulau Pinang dinasihatkan untuk mengurangkan penggunaan per kapita domestik.

Pada 1 April 2015, PBAPP melaksanakan Kajian Semula Tarif Air Pulau Pinang 2015, atau PWTR 2015. Matlamatnya adalah untuk mengurangkan penggunaan per kapita domestik di Pulau Pinang daripada 293 liter/kapita/hari (l/k/h) kepada 260 l/k/h. Inilah kenaikan tarif air untuk pengguna domestik yang pertama sejak 2008 dan bukannya kali keempat sebagaimana fitnah yang didakwa oleh pihak pembangkang.

Lagipun, Pulau Pinang harus mengurangkan penggunaan air kerana dari segi per kapita domestik adalah tertinggi di Malaysia berbanding dengan purata nasional 210 l/k/h.

Penggunaan tinggi tidak dapat dikurangkan kerana tarif air domestik yang terlalu rendah. Malah, penggunaan air yang tinggi telahpun dirujuk oleh Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili dalam surat beliau kepada saya pada 18 September 2013.

Bukan itu sahaja, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pun telah berkali-kali meminta Pulau Pinang menaikkan tarif air sebelum membuat pengumuman secara umum meminta semua negeri menaikkan tarif air untuk pengguna domestik dalam suratkhabar pada 25 April 2015. Ini bagi memastikan Pulau Pinang mempunyai air yang mencukupi selepas tahun 2020, bagi menampung kelewatan SPRWTS.

Untuk memastikan pengguna domestik Pulau Pinang menjimatkan air, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mengekalkan purata tarif terendah di Malaysia bagi penggunaan domestik sehingga 35,000 liter sebulan.

Purata tarif ini hanya RM0.32 bagi setiap 1,000 liter. Ia adalah kurang daripada 50 peratus berbanding purata kebangsaan iaitu RM0.66 bagi setiap 1,000 liter atau RM1.05 setiap 1,000 liter untuk Negeri Johor. Ia adalah tarif yang paling "mesra rakyat" bagi penggunaan domestik di Malaysia untuk pengguna domestik yang menggunakan air dengan bijak.


LIM GUAN ENG ketua menteri Pulau Pinang.

Lihat Komen
ADS