Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Baru-baru ini saya telah berkesempatan melawat Indonesia dan berpeluang menemuramah kepimpinan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di pejabat mereka. Temuramah ini mudah dilaksanakan kerana rakan saya yang merupakan salah seorang pemimpin pemuda PKS telah memaklumkan kepada beberapa pimpinan yang lain yang saya adalah seorang tutor di sebuah universiti di Malaysia yang mahu membuat kajian tentang parti itu.

Temuramah yang diadakan dalam suasana penuh muhibbah itu telah berlarutan sehingga hampir dua jam. Apa yang saya hendak kongsi bersama pembaca di sini ialah rasa kagum saya dengan kepimpinan PKS yang rata-ratanya di bawah umur 50 tahun. Mereka kelihatan segar dan penuh dengan idealisme perjuangan untuk menggerakkan PKS sebagai sebuah parti politik dominan di Indonesia.

Kepimpinan sebegini rupa adalah model PKS yang telah mendapat 47 kerusi Parlimen Indonesia dalam pilihanraya umum lalu, berbanding hanya tujuh sahaja pada 1999 satu pencapaian yang amat membanggakan.

Dalam PKS, pemimpin yang agak berusia akan menduduki Majlis Syura manakala badan eksekutif pula lebih dipenuhi dengan pimpinan yang muda dan segar. Dr Hidayat Nur Wahid telah meletakkan jawatan sebagai Presiden PKS selepas dilantik sebagai Speaker Majlis Permesyuaratan Rakyat (Parlimen) bagi mengelakkan sebarang 'percanggahan kepentingan'.

Kebanyakan pengkaji politik di Indonesia berpandangan bahawa Dr Hidayat mempunyai masa depan yang cerah untuk menjadi presiden Indonesia pada penggal akan datang.

Maka, sempena Muktamar Tahunan PAS Jun ini, saya yang difahamkan tahun ini merupakan tahun pemilihan dalam PAS dan berharap para perwakilan dapat membuat perubahan besar dengan memilih muka-muka baru sebagai pimpinan parti demi 'survival' PAS yang kini saya klasifikasikan sebagai parti yang berada dalam keadaan nazak.

Ini kerana sehingga ini, PAS masih belum menemui ubat yang mujarab untuk mengubati luka parah yang dialaminya akibat dari kalah teruk dalam pilihanraya umum yang lalu.

Saya merasakan sudah sampai masanya pimpinan seperti Senator Hassan Shukri, Ustaz Azizan Abdul Razak, Datuk Mustapha Ali, Datuk Harun Taib, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman, Datuk Wan Mutalib Embong, Haji Subky Abdul Latif, Ustaz Hashim Jasin dan Tuan Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman, serta yang sewaktu dengan mereka, mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada pimpinan pelapis baru untuk memimpin PAS.

Tetapi janganlah disalah anggap bahawa saya mengharapkan agar mereka ini terus bersara daripada politik sebagaimana dalam Umno, kerana dalam sistem perjalanan dakwah PAS yang saya fahami, tiada istilah persaraan dalam perjuangan yang bercorak Islam.

Mereka masih boleh bertindak sebagai penasihat yang bukan berjawatan eksekutif untuk terus mencurahkan idea kepada kepimpinan parti. Jawatan yang bercorak penasihat bolehlah diwujudkan dalam PAS, sama ada di peringkat pusat, negeri, dewan-dewan atau kawasan.

Sehubungan itu, sekiranya saya diberi mandat oleh memilih pimpinan yang baru dalam PAS, maka saya tentunya akan memilih Datuk Dr Haron Din sebagai Presiden PAS, manakala Datuk Nik Abdul Aziz dan Datuk Seri Abdul Hadi sebagai Mursyidul Am dan Timbalan Mursyidul Am. Manakala Timbalan Presiden pula ialah Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok dengan dibantu oleh Haji Ahmad Awang, Haji Mohammad Sabu dan Haji Husam Musa sebagai Naib Presiden.

Di sini saya ingin menyatakan rasa tidak setuju dengan satu surat yang bertajuk Ahli Pas patut mengenepikan 'kuda-kuda tua' ? di mana penulisnys mengesyorkan supaya Husam Musa dilantik sebagai presiden. Saya tidak setuju dengan langkah ini kerana Husam perlu menjadi Naib Presiden terlebih dahulu sesuai dengan kapasitinya pada masa kini.

Sementara itu, saya merasakan Dewan Ulama PAS akan segar dengan idea yang mantap dan disegani ramai pihak apabila pimpinan seperti Dr Mahfuz Mohammad dan Tuan Ibrahim Tuan Man menjadi Ketua dan Timbalan Ketuanya.

Dewan Pemuda PAS pula perlu terus diterajui oleh Salahuddin Ayub dengan dibantu oleh muka baru seperti Mujahid Yusuf Rawa sebagai timbalannya dan Dewan Muslimat PAS pula dipimpin oleh Dr Lo' Lo' Ghazali dan timbalannya pula bolehlah terdiri daripada pimpinan seperti Hajah Naqibah No'ma (puteri Almarhum Ustaz Abu Bakar al Baqir pengasas Hizbul Muslimin).

Seterusnya Datuk Kamarudin Jaafar pula wajar dilantik sebagai Setiausaha Agung, Datuk Dr Hassan Mohd Ali sebagai Ketua Penerangan dan Dr Abdul Wahab Ismail sebagai Bendahari.

Manakala pimpinan seperti Dr Hatta Ramli, Ustaz Abdul Ghani Shamsudin, Dr Siti Mariah Mahmud, Ir Amirudin Hamzah (Adun Anak Bukit Kedah), Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mujahid Yusuf Rawa, Dr Syed Azman, Datuk Ismail Kamus, Muna 'Izzah Fadzil (puteri Almarhum Datuk Fadzil Noor), Haji Ahmad Ali (bekas Adun Guar Sanji Perlis yang amat mahir dalam ilmu Usul Fiqh) dan Ir Khalid Abdul Samad serta Haji Taib Azzamudin sesuai dipilih bagi mengisi jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

ADS