Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

PAS yang ditubuhkan pada tahun 1951, telah mengalami pasang surut dalam perjuangan. Kalah berganti menang, menang berganti kalah. Kita bersyukur sewaktu menang dan kita bersabar sewaktu kalah. Dan kita kalah teruk pada tahun 2004 adalah kerana ramai antara kira yang angkuh dan ego. Lebih ramai yang menyalahkan pihak luar tanpa menyedari kelemahan dan mengakui kelemahan diri kita.

Setiap kali kalah, kita akan mengatakan pihak lawan main kotor, pengadil berat sebelah, media massa memanipulasi kenyataan kita. Seolah-olah tidak ada secebis pun kesilapan di pihak kita. Seolah-olah kita adalah manusia maksum yang bersih daripada salah dan silap.

Sehingga hari ini, penyokong PAS di peringkat cawangan tidak didedahkan kepada 'post mortem' bagi menganalisa punca kita kehilangan kuasa di Terengganu dan kenapa leher kita hampir terjerut tali gantung di Kelantan.

Puncanya, kita memilih pemimpin yang terdiri daripada golongan yang hanya pandai berceramah mengkritik dan menyalahkan parti lawan, tetapi tidak mempunyai ilmu politik dalam membuat kenyataan.

Apakah tidak bebal namanya jika sewaktu kempen pilihanraya, kita mengatakan perdana menteri tidak menjadi imam solat jenazah ibunya, maka dengan itu, beliau kurang 'keIslamannya'?

Tidak bebalkan namanya apabila kita memilih untuk menghentam DAP dengan mengatakan pemimpin mereka adalah ubat yang sudah luput tarikh , sedangkan sasaran kita bukannya DAP.

Apakah cerdik jika kita mengatakan kita kalah kerana penghuni kawasan setinggan, pekerja kilang, serta peniaga pasar malam tidak mengundi kita. Dan kita mendakwa siaran berita RTM hanya sesuai untuk orang-orang yang disebutkan itu, selain daripada orang yang buta huruf?

Mengapakah tidak keluar sepatah kenyataan pemimpin kita bagi mengulas laporan Suruhanjaya Penambahbaikan Polis walhal ia adalah satu isu besar yang boleh dimanfaatkan sehingga pilihanraya umum 2008?

Itu hanyalah contoh-contoh kecil tentang bagaimana pemimpin yang kita pilih lebih sibuk bergaya dengan kereta mewah , walhal masih terlalu banyak penyokong kita yang hidup secara kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang dan pada yang sama, menabung bagi menguatkan parti.

Sewaktu diberi kuasa di Terengganu, kita sombong dengan pihak media dan kalau boleh tidak mahu diwawancara agar tembelang kita mengenai isu semasa, tidak diketahui pihak media.

Kita menyangka dengan membahagi-bahagi lesen sementara menduduki tanah kerajaan, rakyat akan terus menyokong kita, walhal mereka menjadi cuak dan muak apabila pemimpin di semua peringkat daripada yang berpejabat di Wisma Darul Iman hinggalah kepada Jawatankuasa Syura Rakyat sibuk mengikis setiap inci hasil mahsul negeri Terengganu, sehingga ada cawangan membentangkan dalam mesyuaratnya penyata pendapatan daripada hasil balak.

Sebahagian besar daripada kita tidak berada di muktamar ke-28 pada 23 Oktober 1982 di balai seminar Dewan Bahasa dan Pustaka, yang menjadi titik-tolak kewujudan kepimpinan ulama dalam PAS. Pada muktamar tersebut kita memilih untuk menolak presiden parti, Datuk Asri Haji Muda hanya kerana beliau tidak mendengar suara orang muda dalam PAS.

Apakah tidak mungkin pada hari ini, sekali lagi kita membuat keputusan untuk menyedarkan presiden bahawa rakyat Terengganu menolak cara berpolitik beliau sehingga PAS hilang kuasa di Terengganu, dan beliau sendiri tewas di Parlimen Marang, dan hampir tewas di Rhu Rendang, maka ahli-ahli PAS memohon dengan penuh hormat agar beliau menurut jejak langkah orang yang bermaruah, iaitu mengundurkan diri daripada terus memegang jawatan presiden.

Politik menyalahkan orang dan politik melabelkan Pemuda sebagai 'buih-buih Pepsi Cola', bukanlah politik orang tua yang bijak. Pencalonan dan pemilihan pada penggal ini berjalan dengan penuh hipokrit. Cadangan Mursyidul Am tidak diendahkan.

Presiden berlepas tangan asalkan dirinya tidak ditentang, kempen-kempen dibuat secara tidak bertanggungjawab. Parti bukan lagi menjadi sebuah bangunan yang kukuh, bahkan tidak lebih daripada menjadi dangau menunggu durian luruh di dusun.

ADS