Surat Malaysiakini

Kerana berebut kuasa, rakyat terabai

Mat Nadzari Ahmad Dahlan  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Perkembangan semasa politik di Selangor menyaksikan sikap sebenar pemimpin pembangkang yang pada hakikatnya tidak akan pernah puas dengan apa yang mereka ada.

Jawatan dan kedudukan menjadi percaturan utama dan apa yang penting, siapa patut dapat paling banyak.

Dan jika perkara berkenaan tidak dipenuhi maka akan bergaduh, bertengkar dan londeh-melondeh sesama mereka. Kita dapat saksikan sendiri bagaimana seorang timbalan presiden parti dicemuh oleh seorang yang hanya berjawatan pengerusi parti peringkat negeri yang kelibatnya sebelum ini pun tidak pernah kita dengar dan lihat di Selangor.

Itulah pembangkang yang akan bercakap apa sahaja mengikut citarasa masing-masing tanpa ada rasa hormat dan peduli dengan persekitaran terutamanya rakyat di Selangor.

Apapun, kredibiliti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dicemuh sebegitu rupa mencerminkan situasi sebenar menteri besar Selangor itu yang sebenarnya gagal memimpin sebuah jemaah dan negeri.

Soal pembahagian kerusi pun tidak mampu diselesaikan dengan baik sehingga pekung masing-masing dibawa kepada umum.

Apa manfaat untuk rakyat Selangor?

Begitulah juga terjemahannya kepada pentadbiran sebuah kerajaan negeri yang menyaksikan semuanya hanya cantik di atas kertas tetapi hakikatnya pelaksanaan di peringkat bawah kucar-kacir.

‘Peduli Rakyat’ yang menjadi platform memancing undi di saat-saat akhir menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 boleh menjelaskan kenyataan di atas.

Lihat sahaja keluhan rakyat yang tertarik dengan ‘Peduli Rakyat’ dengan pelbagai inisiatif yang kononnya memberi manfaat tetapi apabila ada yang tampil memohon, pelbagai karenah birokrasi yang terpaksa ditempuhi.

Justeru, BN dan Umno Selangor mengajak rakyat menilai secara bijaksana. Sikap berebut jawatan dan lapar kedudukan di kalangan parti komponen pembangkang di Selangor itu membuktikan mereka hanya berkisar soal jawatan dan kedudukan yang akhirnya kebajikan rakyat terabai dan hanya nampak berbakti di saat-saat akhir menjelang PRU ke-14 sahaja.

Sejak PRU ke-13 lalu, apa inisiatif dan apa manfaat yang rakyat Selangor dapat?

Jika ada pun hanya dasar dan polisi yang ditinggalkan menteri besar yang disingkirkan, Tan Sri Khalid Ibrahim termasuk apa yang diusahakan kerajaan pusat melalui agensi pelaksana seperti Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia, MIDA dan beberapa lagi agensi lain yang agresif membawa masuk pelaburan ke Selangor.

‘Peduli Rakyat’ Azmin hanya retorik menjelang PRU ke-14 dan percayalah, ia bersifat sementara.

Apapun, kemelut Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR yang membusuk ekoran berebut jawatan dan kedudukan tidak akan membawa apa-apa kebaikan dan rakyat akan rugi kerana mereka ini yang diberi mandat hanya sibuk berpolitik daripada berkhidmat.


DATUK MAT NADZARI AHMAD DAHLAN merupakan timbalan pengerusi Umno Selangor.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.