Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pada 29 Oktober 2006 Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia Mohd Ezam Mohd Nor mengumumkan perletakkan jawatan beliau sebagai Ketua AMK Malaysia. Perletakkan jawatan beliau tidak mengejutkan kerana sebelum ini telah pun diumumkan dalam Kongres AMK dan disiarkan di dada akhbar tetapi ia tetap menjadi perkara yang agak sukar untuk diterima.

Kali terakhir saya bersua muka dan berbicara dengan beliau ketika himpunan aman menentang kezaliman ISA di dataran Masjid Negara pada 15 Oktober 2006 yang lalu. Sebelum bersurai, saya sempat 'memujuk' Ezam agar tidak melepaskan jawatannya ketika ini dan seboleh-bolehnya biarlah sehingga selesai pilihanraya Umum yang ke 12 nanti.

Ezam memberitahu alasan beliau melepaskan jawatan ini dan meyakinkan bahawa pengganti beliau dan barisan AMK yang sedia ada mampu untuk meneruskan agenda yang telah diperjuangkan sejak sekian lama. Ketika itu saya dapat merasakan bahawa saat dan ketika untuk Ezam 'pergi' semakin hampir.

Mungkin saya tidak mengenali Ezam secara mendalam, saya lebih melihat beliau dari jauh dan mendengar cerita-cerita daripada teman-teman AMK namun saya tetap menganggap beliau adalah salah seorang pejuang yang gigih dalam menggerakkan agenda perjuangan sejak berlakunya reformasi di Malaysia.

Kali pertama saya dapat bertemu dan berbicara dengan Ezam adalah ketika program Konvensyen Pemuda BA Johor yang diadakan pada 2 April 2006.

Saya tidak boleh lupa apabila beliau bertanya mengapa sebelum ini beliau tidak pernah menemui saya. Pertanyaan tersebut bukanlah satu kejutan kerana sememangnya sebelum ini saya lebih berminat berkerja di sebalik tabir dan menguruskan parti di peringkat pentadbiran.

Pemerhatian saya dari jauh, daripada pelbagai sumber, saya mengkagumi semangat juang beliau apabila ia melibatkan soal rasuah. Semasa menyampaikan ucapan penutup di dalam konvensyen Pemuda BA Johor, beliau menyatakan bahawa rasuah yang berlegar di dalam negara kita semakin membarah. Kerana itu, beliau menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (Gerak) untuk memberikan tumpuan terhadap memulihkan dan membersihkan negara daripadanya.

Kegigihan beliau memperjuangkan agenda reformasi menyaksikan beliau telah ditahan di bawah ISA dan didakwa di bawah OSA, beberapa kali dilokap dan menghadapi pelbagai cabaran serta ujian.

Pelbagai cerita indah dan duka telah beliau lalui dalam perjuangan ini khususnya dalam mengemudi gerakan reformasi dan AMK. Kini semuanya menjadi catatan sejarah dan Ezam meninggalkan jawatan sebagai ketua AMK Malaysia dengan secara terhormat walaupun sebelum ini beliau pernah dikaitkan untuk menyertai semula Umno.

Mudah-mudahan apa yang telah dilakukan selama ini akan mendapat ganjaran daripadaNya. Saya yakin beliau akan terus komited dalam agenda perjuangan ini walapun bukan lagi sebagai ketua AMK Malaysia.

Kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat 'bertugas' Shamsul Iskandar Md Akin yang telah diberi mandat baru sebagai pemangku Ketua AMK Malaysia. Semoga beliau dapat terus memacu perjuangan dan bergerak bersama Dewan Pemuda PAS di semua peringkat untuk menegakkan keadilan.

ADS