Malaysiakini Letter

Ayah ku dan helikopter Nuri

Rozmal Malakan  |  Published:  |  Modified:

Apabila berlaku kejadian terbaru helikopter Nuri yang terhempas di Genting Sempah, aku bertanyalah pada ayah ku, seorang bekas tentera, 'Bah, bila abah mula naik Nuri?' Ayah ku menjawab, 'Sejak abah pangkat Leftenan lagi, abah dah naik Nuri tu.'

Sekarang ayah ku sudah lama pencen, sejak tahun 1983 lagi, dan sekarang usianya 70 tahun dan sudah bercucu pula.

Begitulah lamanya Nuri telah berjasa kepada negara kita. Setiap kali semasa ayah menjalankan tugas, hati ku sentiasa berdebar-debar. Maklum sajalah, tahun 70an dan 80an masih ada pengganas komunis di Malaysia. Bukan sahaja bimbangkan Nuri akan terhempas, malah bimbangkan Nuri akan ditembak jatuh.

Yang aku ingat helikopter Nuri tidak bertukar ganti, tetapi hanya jet pejuang yang bertukar ganti. Bermula dengan jet Tebuan yang sering ku lihat di hadapan kuarters tentera berhadapan Lapangan Terbang Pengkalan Chepa menjalankan latihan. Kemudian jet supersonik F-5E, kemudian jet yang penuh kontroversi A4 Skyhawk, kemudian MB339, kemudian pula Hawk, kemudiannya F-18 Hornet, kemudian MiG 29, dan yang terkini dan tercanggih ialah pesawat Sukhoi.

Namun ku lihat Nuri masih digunakan lagi, diperbaiki, dipermodenkan dan seterusnya.

Begitu juga dengan pesawat pengangkut yang membawa anggota tentera. Masih ingat ketika kami kerap berpindah randah mengikuti ayah ke Sabah dan Sarawak menaiki beberapa pesawat. Mulanya pesawat Dart Herald, masih ku ingat, ketika dalam perjalanan krewnya sedang cuba menutup pintu belakang yang tidak rapat. Pesawat Dart Herald telah lama tidak digunakan.

Kemudian naik pula Caribou, naik Caribou ni juga membimbangkan, dengan bunyi enjinnya yang bising dan kadang-kadang asap hitam keluar dari enjin bila enjin mula dihidupkan. Caribou juga telah ditamatkan perkhidmatan.

Kemudian kami naik pula jet F28, agak canggih ketika itu, secanggih jet eksekutif TUDM ketika ini. Jet F28 inilah digunakan untuk mengangkut anggota tentera berpindah dari Semanjung Malaysia ke Sarawak. Kemudian balik ke Semenanjung, kami naik pula pesawat Hercules C-130. Pesawat Hercules masih digunakan hingga ke hari ini. Yang terbaru ialah pesawat CN 235 yang tidak sempat ku merasainya. Begitu juga beberapa jet eksekutif TUDM yang terkini.

Walaupun jet pejuang dan pesawat pengangkut silih berganti tetapi pesawat Nuri masih digunakan lagi.

Jika masa dahulu ketika Nuri masih baru, hati ku sebagai anak seorang perajurit sentiasa berdebar-debar menantikan kepulangan ayah dari operasi, apatah lagi sekarang ini seorang isteri, seorang anak menanti-nantikan kepulangan suami atau ayah mereka daripada menjalankan operasi dengan menggunakan pesawat Nuri?

Fikir-fikirkanlah.

Share this story

OR

Welcome back,

Your subscription expires on
  

Your subscription will expire soon, kindly renew before
  

Your subscription is expired
  Click here to renew

You are not subscribed to any subscription package
  Click here to subscribe now

Any questions?
  Email: [email protected]
  Call: +603-777-00000

Renew