SURAT

Terengganu kaya tapi rakyatnya masih miskin

Karim Zaidan

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jan 2008, 10:21 pagi

Jika dilihat Terengganu sahaja, rakyat dilambakkan dengan 1,001 permasalahan dan isu yang perlu dan sepatutnya diambil serius oleh Perdana Menteri.

Terengganu terkenal sebagai negeri yang kedua terkaya di Malaysia, tetapi mencatatkan kadar kemiskinan yang kedua tertinggi di Malaysia. Sewaktu PAS memerintah Terengganu, kadar kemiskinan dapat diturunkan daripada 17 peratus kepada 10.2 peratus.

Selepas Barisan Nasional (BN) kembali memerintah Terengganu - berdasarkan maklumat Jabatan Perangkaan - negeri ini mencatat penigkatan kadar kemiskinan kepada 15 peratus. Bagaimana negeri yang kedua terkaya melahirkan rakyat yang miskin?

Di samping itu, kadar jenayah pula tinggi dan masalah sosial yang meruncing sebagaimana disahkan oleh Ketua Polis Negara. Perkara yang berlaku saban hari ini gagal ditangani kerajaan, bahkan semakin menjadi-jadi.

Orang tidak siuman sahaja yang tidak tahu dana negara telah dikikis seperti yang berlaku pada tiga projek pelancongan utama di Terengganu, iaitu projek Monsoon Cup, Pulau Duyong dan Masjid Kristal di Pulau Wan Wan.

Sejumlah RM750 juta dibelanjakan dan rakyat sedikit pun tidak dapat merasa keuntungannya, apatah lagi menerima tempias kenikmatan daripada ketiga-tiga pembangunan ini.

Gabungan rakyat seperti Gabungan pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), Gabungan Bantah Kenaikan Kadar Tol (Protes), Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK), Gabungan rakyat menentang FTA Amerika-Malaysia dan banyak lagi gabungan rakyat yang dibentuk untuk membantah dan menentang kebobrokan serta kepincangan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi.

Janji-janji yang ditabur sewaktu baru memegang tampuk pimpinan tidak ditepati. Pak Lah pernah berjanji untuk memerangi rasuah, tetapi rasuah semakin menjadi-jadi. Pelbagai janji ditabur akhirnya hancur melebur. Kata-kata nasihat yang terdapat dalam bait-bait dalam lagu Allahyarhamah Saloma, "apa guna berjanji, kalau tak ditepati" tidak pernah diambil pedoman.

Hanya ubat kesedaran sahaja yang mampu mengubatinya. Yang pertama memang parti pemerintah sangat kuat menekan. Yang kedua memang parti pembangkang sangat lemah menentang atau yang ketiga, kedua-duanya sekali. Doa dan harapan dipanjatkan bagi memastikan negara bebas dari unsur-unsur penjajah, dan dijauhkan daripada 'pengampu' dan penipu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.