Sebagai rakyat Malaysia yang mengikuti secara dekat perkembangan politik negara, saya terpanggil untuk mengulas isu terbaru yang melibatkan Anwar Ibrahim.

Saya tidak nafikan peristiwa yang menyelubungi bekas timbalan perdana menteri ini telah merubah senario politik negara dan saya merupakan salah seorang yang menyokong perjuangan reformasi yang diperjuangkannya.

Apapun penjelasan yang diberi, saya tetap tidak dapat mempercayai dakwaan serta pertuduhan terhadap Anwar pada waktu itu.

Saya menyokong kuat gerakan reformasi sehinggalah isu terbaru ini melanda.

Secara tiba-tiba isu ini timbul semula dan hati kecil saya terdetik untuk merenung semula pendirian yang hampir sebati di dalam jiwa ini.

Respons "gabra" daripada Anwar dengan menyembunyikan diri di rumah duta Turki, membuat laporan polis terhadap ketua polis negara dan peguam negara serta terus berdolak-dalik dalam banyak hal berhubung isu ini telah menimbulkan persoalan.

"Lawannya" tidak mungkin sebodoh itu untuk mengulangi pertuduhan isu yang sama untuk menjatuhkannya.

Bukan mudah untuk membuktikan kejadian liwat sebegini. Sebodoh itukah pemimpin-pemimpin kerajaan? Kenapa sekarang Barisan Nasional hendak berkonspirasi dan kenapa tidak dibuat sewaktu kempen pilihanraya baru-baru ini?

Saya percaya ramai khalayak serta penyokong reformasi mula tertanya-tanya mengenai perkara ini.

Kalangan rakan-rakan yang sealiran juga sudah mula bercakap dan ragu-ragu terhadap Anwar. Kami sudah mula bosan dengan penjelasan dan cubaan mengaitkan Tan Sri Musa Hassan dan Tan Sri Abdul Gani Patail serta kongkongan untuk mengingati kejadian 1998.

Pada kami, isu pemalsuan bukti terhadap kes 'mata lebam' tidak relevan dengan kes terbaru ini.

Bagi memuaskan hati kami, Anwar perlu keluar dengan satu jawapan yang boleh menolak sebarang keraguan terhadapnya. Jalan terbaik ialah bersumpah cara Islam.

Dengan cara ini sahaja, semua keraguan akan lenyap. Wallahu a'lam .

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini