Berita Malaysiakini

PPSMI: Hadi, Samad Said disiasat polis

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said dipanggil polis untuk siasatan berhubung perarakan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu lepas.

Polis juga ingin pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) Datuk Dr Hasan Ahmad bersama barisan pemimpin gabungan itu menghubungi polis bagi membantu siasatan dalam demonstrasi dekat Istana Negara, lapor Bernama .

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Samah Mat dilaporkan berkata perarakan itu tidak mempunyai permit dan melanggar undang-undang bawah Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa serta beberapa

pemimpin kanan parti termasuk naib presidennya Mohamad Sabu, ketua Pemudanya Salahuddin Ayub dan ketua penerangan Datuk Mahfuz Omar dan pemimpin PKR Saifuddin Nasution Ismail juga turut dikehendaki polis.

Timbalan pengerusi GMP Dr Shaharir Mohd Zain, profesor bahasa Dr Abdullah Hasan, setiausaha GMP Hasni Abas, Che Shamsudin Othman (Dinsman), Mohammad Faizal Abd Aziz, Aizad Mohd Saleh, Muhammad Haafizuddin Abirerah dan pemimpin Pemuda PAS Kamarulzaman Mohamad turut diminta membantu siasatan, lapor agensi berita itu lagi.

Polis juga mengkehendaki ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, naib ketuanya Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, exco penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat, dan ahli jawatankuasa GMP Ainon Mohd.

Bekas pemimpin kanan Pemuda PAS Idris Ahmad dan ketua Angkatan Muda PKR Batu Rozan Azen Mat Rasip juga tersenarai.

"Semua individu tersebut diminta menghubungi ibu pejabat polis daerah Dang Wangi atau menghubungi pegawai penyiasat ASP Suhaimi Muhamad di talian 012-692 73 62 atau ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah DSP Lee Foong Koi di talian 013-867 55 07," Abdul Samah dipetik berkata.