Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa pemimpin Umno di Melaka terkejut, sedih dan bersimpati dengan nasib ketua menterinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dilarang untuk bertanding timbalan presiden Umno, minggu depan.

Ketua Wanita negeri Datuk Hazizah Mohd Sultan berkata wanita akar umbi turut terperanjat dengan keputusan lembaga displin itu.

"Kita sayang dekat Datuk Seri Mohd Ali. Tapi ikut undang-undang, apa boleh kita boleh buat.

"Cubit paha kanan, paha kiri juga terasa," katanya, yang juga ketua Wanita Bukit Katil, bahagian Umno yang diketuai oleh Mohd Ali.

hazizah mohd sultan Hazizah bagaimanapun menolak tanggapan bahawa bosnya itu disabotaj oleh pihak-pihak tertentu, tetapi menegaskan dalam politik, seseorang pemimpin ada musuh politik masing-masing.

Mohd Ali didapati bersalah oleh lembaga disiplin parti mengikut Perkara 10.1 Tataetika Ahli Umno yang membabitkan kesalahan pihak ketiga, yakni ejennya terlibat dalam sogokan politik.

Hazizah menambah, beliau berharap Mohd Ali bersabar dan tabahkan hati kerana ia sudah lumrah berpolitik.

"Kalau takutkan ombak, jangan berumah di tepi pantai," katanya.

Beliau berharap panel rayuan Umno menerima kembali Mohd Ali dalam senarai calon jawatan nombor dua parti Melayu itu.

Bekas ketua bahagian Alor Gajah, Datuk Hamdin Abdollah berkata larangan tersebut "episod malang" dalam hidup naib presiden Umno itu setelah lama berkempen untuk merebut jawatan tersebut.

Mohd Ali, calon popular untuk memenangi jawatan nombor dua Umno, berdepan dua lagi calon, naib presin Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua penerangan Tan Sri Muhammad Mohd Taib.

Menurut, kini ketua cawangan Umno Pekan Alor Gajah, menambah keputusan lembaga tersebut tidak adil memandangkan keputusan itu dibuat dekat dengan pemilihan parti yang dijadual bermula 24 Mac ini.

"Lembaga displin sepatutnya mengumumkannya lebih awal. Tak payahlah teruk untuk berkempen," katanya kepada Malaysiakini .

Hamdin berkata, sebelum keputusan itu dibuat, beliau pernah mendengar desas-desus bahawa Mohd Ali akan digantung keahlian selama tiga tahun.

"Kalau begitu (digantung tiga tahun), beliau tidak boleh jadi ketua menteri," katanya.

Ditanya mengenai reaksi akar umbi di Alor Gajah, beliau berkata mereka masih memerlukan khidmat Mohd Ali.

Tambahnya, naib presiden Umno itu masih boleh bertanding dalam pemilihan akan datang.

"Boleh bertanding lagi (selepas ini). Perjuangan masih belum selesai. Masih ada masa. Datuk Seri Mohd Ali akan buat come back (muncul kembali)," kata Hamdin.

Manakala bekas ketua bahagian Tangga Batu, Datuk Yaakob Md Amin berkata beliau terkilan dengan larangan lembaga disiplin kelmarin.

Katanya, kini ketua cawangan Batang Tiga Timur, ahli-ahli akar umbi Umno meletakkan harapan tinggi kepada Mohd Ali memenangi jawatan tersebut agar beliau dapat berperanan lebih di peringkat nasional.

Beliau tawar hati dengan keputusan tersebut. "Sepatutnya, lembaga disiplin umum lebih awal, jangan tinggal lagi seminggu (baru umum)," katanya.

Tambahnya, beliau bimbang keputusan tersebut menyebabkan ahli-ahli Umno mengambil sikap meninggalkan parti.

"Perjelaskan apa itu politik wang kepada akar umbi. Banyak hukuman akan menyebabkan hilang minat dan tawar hati (mereka) untuk bersama Umno.

"Mereka akan hilang keyakinan dengan Umno," katanya.

ADS