Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Terkejut Manikumar terpilih

Abdul Rahim Sabri

Diterbitkan  |  Dikemaskini

kemaskini 3.40pm Seorang pemimpin PKR, yang disebut-sebut sebagai calon DUN Bukit Selambau terkejut dengan pengumuman calon baru S Manikumar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi ini.

Dr R Krishnamoorthy, naib ketua Angkatan Muda PKR Kedah dan ketua penerangan Sungai Petani, berkata beliau bagaimanapun menyokong penuh pemilihan parti.

Beliau akan setia pada parti dan menyeru semua penyokong PKR bekerja keras untuk memastikan kemenangan Manikumar dalam pilihan raya yang berlangsung antara 29 Mac hingga 7 April ini.

Krishnamoorthy berkata beliau berharap pengundi boleh menerima calon muka baru ini, yang menyertai PKR selama dua tahun.

Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Manikumar sebagai calon Pakatan Rakyat bagi menggalas cabaran menentang calon BN Datuk S Ganesan.

Mereka berdua bakal menghadapi persaingan daripada lebih kurang 10 calon bebas.

Krishnamoorthy, juga ketua penerangan PKR bahagian Sungai Petani, berkata walaupun penduduk di Bukit Selambau tidak mengenali Manikumar, tetapi beliau yakin calon tersebut boleh menang.

Sehubungan itu, tambahnya, PKR Kedah akan bermesyuarat petang ini untuk mengatur strategi dan kempen pilihanraya bagi membantu calon PKR itu yang kurang berpengalaman dan kurang dikenali oleh masyarakat setempat.

"Memang dia orang baru, kurang pengalaman dan kurang dikenali tetapi kita berusaha untuk meyakinkan kepada penduduk tempatan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon yang disenarai pendek untuk merebut kerusi tersebut, P Sritharan berkata beliau tidak kecewa dengan pemilihan Manikumar.

Tambahnya, beliau menerima keputusan yang dibuat pemimpin PKR itu.

"Bapa pilih anak, kita terima saja. Saya tidak ada masalah, saya terima keputusan. Saya akan memberi sokongan kepada Manikumar," katanya kepada Malaysiakini .

Beliau yakin dengan calon parti itu setelah meneliti kelayakan Manikumar, katanya lagi.

Mengulas Manikumar yang kurang dikenali, ahli Majlis Perbandaran Sungai Petani itu berkata, keadaan itu tidak akan mengubah pendirian pengundi untuk memenangkan calon PKR.

"Kita boleh menang. Yakin 100 peratus, kita menang," katanya.

Ditanya mengenai beberapa penyokong K Masilamani yang membantah pemilihan Manikumar, Sritharan berkata beliau yang ada berada di situ turut menenangkan keadaan.

"Jangan buat macam ini, malu orang India. Menteri besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) ada di sini," katanya.