Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7.46pm Penulis politik Yahaya Ismail mendakwa beliau berunding dengan naib ketua Pemuda Umno mengenai hak cipta sebelum menerbitkan buku Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin yang kini menjadi kes polis.

Yahaya bagaimanapun menafikan cuba mengugut calon ketua Pemuda Umno itu dalam pertemuan tersebut.

yahya ismail Beliau, yang juga dikenali sebagai Pak Ya, tidak dapat mengingati tarikh dan masa pertemuan tersebut.

"Ugut tahi minyak apa? Ugut (itu) macam nak pukul, bubuh pasir dalam tangki minyak kereta dia. Tidak ada (ugutan). (Pertemuan) ini bisnes.

"Kalau (Khairy) nak beli, beli. Kalau tidak mahu beli, sudah. Saya pergi, saya tidak bercadang nak ugut beliau," katanya (foto) kepada Malaysiakini .

Menceritakan lebih lanjut beberapa perbualan dalam rundingan tersebut, penulis veteran itu berkata:

"Saya kata awak beri RM100,000 kepada saya, awak ambil hak cipta (buku tersebut). Khairy kata, 'saya beritahu esok'.

"(Sewaktu) orang dia bawa balik saya, (mereka) bertanya, 'tidak boleh berunding sedikit?'

"Saya kata, 'itu pun harga sudah kurang.' Keesokan harinya orang dia datang beri (balik) naskhah, (orang Khairy berkata:) 'Khairy tidak ada duit. Khairy tidak jadi beli'.

"Saya tidak paksa beliau beli."

tuah dan sial khairy jamaluddin yahya ismail Khairy semalam membuat laporan polis terhadap Yahaya dengan mendakwa penulis Tuah dan Sial Khairy Jamaluddin mengugut dan memfitnahnya di ibu pejabat polis daerah Brickfields, Kuala Lumpur.

"Tujuan utama saya buat report (polis) ini adalah disebabkan kandungan buku ... yang ternyata memfitnah saya. Buku ini adalah sebenarnya satu usaha secara sengaja menjatuhkan imej dan karier politik saya," Khairy dipetik berkata.

Beliau dilaporkan berkata beliau pertama kali bertemu penulis tersebut di pejabatnya (Khairy) pada 17 Februari lepas.

Mengulas aduan polis tersebut, Pak Ya berkata beliau belum menerima sebarang panggilan telefon daripada polis.

Tambahnya, jika dipanggil untuk memberikan keterangan, beliau akan hadir bersama peguam.

Selain menerbit akhbar dan menulis politik, Yahaya lebih popular sebagai penulis esei dan pengkritik sastera Melayu khususnya pada 1960-an dan 1970-an.

Reaksi Pak Habib

syed hussein alattas pak habib Sementara itu, penulis politik mapan, Syed Hussein Alattas pula berkata, beliau tidak bersetuju dengan penulisan rakan seangkatannya itu.

Bercakap dengan Malaysiakini awal malam ini, beliau berkata, tindakan Yahaya itu boleh menjejaskan nama penulis politik yang lain.

"Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya yang lebih popular dengan panggilan Pak Habib.

Mengulas mengenai tindakan Khairy membuat laporan polis terhadap buku tulisan Yahaya itu, beliau berkata, naib ketua Pemuda itu tentunya mempunya alasan untuk berbuat demikian.

ADS