Setiausaha politik menteri besar Perlis, Ameir Hassan telah meletak jawatan berkuatkuasa 30 Mac lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Ameir berkata, beliau menghantar surat peletakan jawatan itu pada 27 Februari lalu.

Bagaimanapun, beliau menolak dakwaan berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Mohd Isa Sabu.

Sebaliknya, kata Ameir, beliau meletak jawatan kerana ingin kembali aktif dalam bidang guaman.

"Umno Perlis berada dalam keadaan mantap, bersatu dan tiada sebarang perpecahan," katanya.

Ameir juga menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau merupakan penyokong bekas menteri besar, Datuk Shahidan Kassim.

"Sebaliknya, saya ingin bertanding mencabar beliau bagi jawatan ketua Umno Arau tetapi malangnya saya tidak cukup kuota," katanya.

Lagi pula, katanya, kalau hendak menyokong Shahidan, sepatutnya ketika beliau menjadi menteri besar kerana banyak faedahnya.

Bagaimanapun, ketua penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh mendakwa Ameir meletakkan jawatan kerana tidak puas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri.

Beliau mendakwa, Ameir juga berbuat demikian kerana tidak puas hati dengan pucuk pimpinan Umno Perlis.

"Ameir pernah menyatakan beliau tidak puas hati dengan beberapa pemimpin Umno termasuk menteri besar," dakwa Hashim.

Bagaimanapun, Ameir ketika diminta mengulas dakwaan Hashim itu berkata, sesiapa sahaja berhak membuat spekulasi.

"Saya tidak dapat menutup mulut mereka," katanya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS